11 Oktober 2012

Dadah kertas karbon

25 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

RAMPAS...Abd Aziz (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa  syabu yang dirampas.
 
RAMPAS...Abd Aziz (dua dari kanan) bersama pegawainya memeriksa syabu yang dirampas. 
 
ALOR SETAR: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan ‘kertas karbon’ bagi mengelak dikesan mesin pengimbas berjaya dikesan pihak berkuasa selepas seorang wanita warga Thailand ditahan kerana didapati membawa dua bungkusan dadah jenis syabu seberat 2.1 kilogram (kg) bernilai RM400,000 disimpan dalam beg pakaiannya, Isnin lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di Perhentian Bas Ekspres, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bukit Kayu Hitam oleh sepasukan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Unit Narkotik Alor Setar sebaik wanita itu melepasi kompleks berkenaan.

Difahamkan, wanita itu turut menggunakan perkhidmatan kereta sewa di Danok, Thailand bagi mengurangkan risiko diberkas pihak berkuasa walaupun dadah berkenaan sudah dibungkus dengan kertas karbon, namun usaha suspek tetap gagal.
Pengarah KDRM Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, siasatan terhadap beg wanita itu menemui dua bungkusan dadah jenis syabu dibalut menggunakan kertas karbon biru yang disimpan di bahagian bawah beg berkenaan.

“Pemeriksaan awal Unit Narkotik KDRM terhadap beg pakaian wanita itu menemui dua bungkusan kertas karbon mengandungi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu.

“Kami percaya kertas karbon digunakan memang bertujuan mengelak dikesan mesin pengimbas kerana jika menggunakan kertas itu, paparan pada skrin imbasan akan menjadi gelap tetapi taktik berkenaan sudah diketahui pihak berkuasa,” katanya di sini, semalam.

Abd Aziz berkata, bungkusan hablur itu ditemui tersorok di bahagian bawah beg wanita itu selain dilindungi dengan lapisan atas beg dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, suspek ketika itu menaiki bas dari Hatyai, Thailand dikatakan mahu menuju ke Kuala Lumpur bersama-sama beg pakaiannya dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

“Berdasarkan soal siasat dijalankan, wanita itu yang bekerja sebagai tukang urut di Kuala Lumpur mempunyai seorang anak di Thailand dan mengikut rekod pasportnya, suspek sudah empat kali masuk ke negara ini sejak 2006,” katanya.

Katanya, wanita itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, kejayaan itu yang ketujuh tahun ini membabitkan cubaan penyeludupan dadah jenis syabu bernilai lebih RM3 juta dari Januari hingga Oktober.

METRO/-

Tiada ulasan: