11 Oktober 2012

Rohingya: Mapim kesal pendirian Malaysia

25 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan kekesalan terhadap pendirian yang diambil oleh PM Malaysia yang mengambil sikap lepas tangan dalam isu penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar atas alasan tidak mahu campur tangan urusan dalam negara itu.


Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hami (gambar) berkata, pendirian itu sebenarnya tidak tepat dengan prinsip yang disepakati ketika AIHRC (Asean Inter Governmental on Human Rights Commission) diwujudkan.

Katanya, walaupun wujud pernyataan tidak boleh campur tangan dalam urusan negeri anggota Asean, akan tetapi prinsip untuk menjaga hak asasi manusia sesuai dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB dan undang-undang antarabangsa, tetap meletakkan tanggungjawab setiap  negara anggota Asean untuk dilaksanakan.

Ini juga, ujarnya jelas dicatat dalam Artikel 2 dalam Piagam Asean supaya setiap negara patuh kepada menegakkan undang-undang, urustadbir yang baik, prinsip-prinsp demokrasi dan perlembagaan negara.

Tambahnya, dalam catatan yang sama juga semua anggota Asean perlu menghormati kebebasaan asasi, mempromosi dan melindungi hak manusia dan keadilan sosial.

Menurutnya lagi, setiap anggota Asean juga bersetuju untuk mempertahankan Piagam PBB dan Undang-undang antarabangsa, menghormati kepelbagaian budaya , bahasa dan agama penduduk di Asean.


Secara khusus juga, kata beliau persepakatan dinyatakan dengan jelas supaya prinsip hak asasi manusia antarabangsa, termasuk keuniversalan (universality), kesepaduan (indivisibility), saling bergantung (interdependence) dan saling berkait (interrelatedness) dipelihara.

Tambah beliau, tidak ketinggalan juga dipersetujui agar tindakan secara objektif , tidak memilih, tidak berdiskriminasi dan mengelak dari mengamalkan "double standard" diamalkan oleh setiap negara.


Oleh kerana itu, ujar Mohd Azmi dalam satu kenyataan logik PM untuk tidak mahu campur tangan dalam urusan negara Myanmar tidak boleh diterima.


Katanya, Malaysia tidak boleh melepaskan tanggungjawab untuk meminta kerajaan Myanmar akur bahawa penindasan dan kezaliman yang pihak berkuasa lakukan ke atas etnik Rohingya tidak boleh dibiarkan.

“Apatah lagi ia telah menyebabkan masalah pelarian Rohingya melimpah masuk kedalam negara jiran. Oleh itu tidak boleh diterima bahawa Malaysia tidak boleh berbuat apa-apa,” ujarnya.


Pernyataan PM itu, ujar beliau menunjukkan kepimpinan Malaysia yang sangat lemah bila menangani isu hak asasi manusia yang jelas dinafikan di Myanmar.


Katanya, Mapim kecewa setelah beberapa pucuk surat dihantar kepada PM, Menteri Luar Negara dan Menteri Pertahanan untuk bertindak segera bila terjadi serangan etnik Rakhine Buddhist esktremis ke atas etnik Rohingya Muslim pada awal Jun 2012, malangnya Mapim tidak mendapat sebarang respons.


Jelasnya, desakan Mapim hanyalah untuk meminta kerajaan Malaysia menggesa kerajaan Myanmar menghentikan keganasan yang melibatkan pembunuhan etnik Rohingya , pembakaran perkampungan dan masjid yang menjadi-jadi sehingga jelas berlaku proses pembersihan etnik yang nyata.


“Mapim dengan ini sekali lagi mendesak supaya kerajaan Malaysia mengambil sikap yang lebih aktif untuk mengguna saluran Asean, OIC dan PBB supaya keganasan yang maseh berlaku di Myanmar dihentikan.

“Mapim menuntut supaya proses penyelesaian politik untuk mengembalikan hak kerakyatan etnik Rohingya hendaklah diusahakan kerana inilah kunci persoalan yang menyebabkan etnik Rohingya terus ditindas,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: