19 Oktober 2012

Jujur antara kunci kejayaan projek - TG Nik Aziz

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Tuan Guru Nik Aziz berucap semasa lawatan kerja melihat projek jambatan)

PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata projek jabatan atau apa saja akan siap mengikut jadual sekiranya masing-masing jujur dalam pengendalian itu.

Menurutnya, sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengendalikan sebarang projek pembinaan termasuk jambatan ianya akan siap mengikut jadual mengikut harga yang dipersetujui.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meninjau perjalanan pembinaan jambatan Pulau Kundur, di sini, tengahari semalam.

Projek berkenaan yang diurus Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kerajaan negeri menelan belanja sekitar RM2.6 juta.

“Kalau tak amanah, apa lagi mendapat keuntungan cara mudah terhadap sesuatu projek, jambatan tak siap, rakyat juga yang susah, wang semakin banyak bertambah untuk menyiapkannya semula,”ujarnya.

Tambahnya, sekiranya tidak berpegang pada ajaran Islam, perkara itu akan terus berlaku kerana tidak takut pada Allah.

Turut hadir pada majlis itu, Adun Kijang yang juga anggota exco kerajaan negeri, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Sehubungan itu Anizam melahirkan rasa kesal kepada golongan berkenaan yang mengkhianati amanah rakyat.

Jambatan Pulau Kundor mula dibena awal tahun ini. Ianya dijangka siap bulan Feb atau Mac depan.

Menurut Md Anizam, sehingga kini pembinaannya telah meliputi 30 peratus.

Beliau juga turut memberitahu telah banyak jambatan konkrit dibena oleh kerajaan negeri menggantikan jambatan kayu di samping jalan-jalan negeri.

Katanya, antara jambatan terbabit di Pasir Mas, Wakaf Stan, Telok Rajuna, Sungai Sat, Jambatan Pak Nik Lah, Jambatan Tok Guru, Jambatan Lapan Pari yang terbaru dan lain-lain lagi.

harakah/-

Tiada ulasan: