19 Oktober 2012

Masalah penjawat awam kerja berjauhan keluarga

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meneliti persoalan penjawat awam yang berjauhan keluarga secara dekat  kerana soal kebajikan kakitangan bukan sahaja pemberian bonus kakitangan, elaun dan gaji tetapi yang lebih utama ialah suasana kerja yang selesa dan menyeronokkan.
“Bebanan kerja yang berat akan dirasai ringan, bila mana kita seronok melakukannya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan.

Justeru, baginya institusi keluarga kini semakin pincang kerana terdapat pelbagai kes di dalam sistem perkhidmatan negara yang tidak mengambil kira soal kebajikan dan status keluarga.

Mutakhir ini, ujarnya terdapat banyak aduan melibatkan pertukaran atau penempatan kakitangan perkhidmatan awam yang tidak mengambil kira lokasi kerja antara suami dan isteri, sehingga mereka terpaksa berjauhan.

“Lebih malang, apabila berlaku penempatan baru kakitangan tidak mengambil kira faktor ini menyebabkan ada suami bertugas di Semenanjung, manakala isteri bertugas di Sabah atau Serawak.

“Bahkan ada suami berulang alik antara Kedah dan Pahang, Melaka dan Perlis dan selainnya,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.


Keadaan ini, tambah beliau menyebabkan wujud pelbagai masalah rumahtangga, bebanan ekonomi, tekanan jiwa dan stres menyebabkan kualiti perkhidmatan awam terjejas. Bahkan terdapat pelbagai kes perceraian, perkelahian suami isteri dan lain berpunca dari tempat kerja berjauhan.


Menurutnya, bebanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat menyebabkan suasana pekerjaan mulai berubah pada skala besar, di mana suami dan isteri terpaksa bekerja bagi menampung bebanan ekonomi.

Bahkan, kata beliau ada yang terpaksa sering melakukan kerja tambahan selepas waktu pejabat.

harakah/-

Tiada ulasan: