19 Oktober 2012

Konvensyen politik baharu Sabah esok

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -





KOTA KINABALU: Menjelang pilihan raya ke 13, ketika rakyat Sabah sedang berada di persimpangan, PAS Sabah menganjurkan 'Konvensyen Politik Baharu Sabah'.

Konvensyen yang terbuka kepada semua pihak ini akan diadakan di Star City Convention Centre, Kota Kinabalu Sabtu 20 Oktober esok.

Konvensyen ini diadakan dengan mengumpulkan semua tokoh-tokoh penting PAS bersama-sama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat bagi membentuk pemikiran baru di kalangan rakyat Sabah.

Ia juga diadakan ketika slogan 'Ini kalilah' berkumandang dari mulut ke mulut rakyat Sabah untuk melihat kejatuhan kerajaan BN samada di negeri mahupun di pusat dan membentuk politik baru dari kejatuhan itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa antara tokoh penting pusat yang akan turut serta di konvensyen ini.

Selain itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Vincent Lee, Senator Khairiah Mohamed Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Kelantan juga turut memberikan sumbangan di konvensyen yang terbuka kepada semua ini.

Selain mereka, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling, bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar, Datuk Yahya Lampong, bekas timbalan menteri Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Datuk Wilfred Bumburing juga akan turut serta.

Untuk sessi forum pula, Haji Hamzah Abdullah (Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah), Dr Edwin Bosi (Setiausaha DAP Sabah) dan Ahmad Thamrin Jaini (Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah) akan mencernakan lagi keperluan politik baru untuk Sabah.

Bagi PAS Sabah, sepanjang 49 tahun Sabah merdeka dan bersama membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963, hari ini Sabah masih bergelumang dengan masalah-masalah asas seperti masalah kemiskinan, penganngguran, kemudahan asas seperti bekalan air dan letrik, kualiti pendidikan dan kesihatan menyebabkan Sabah menjadi negeri tercorot jika dibandingkan negeri-negeri di Negara ini.

Walaupun suatu ketika dahulu Sabah adalah negeri kedua terkaya di Malaysia selepas Selangor namun hari ini Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi, kadar pengangguran dan kos sara hidup masih tinggi malah pertumbuhan ekonomi yang kekal perlahan berbeza dengan apa yang dijanjikan dalam manifesto “Sabah Baru” Barisan Nasional 18 tahun dahulu.

Oleh yang demikian Sabah memerlukan satu gagasan politik baharu dalam membangunkan negeri yang kaya dengan sumber anugerah Ilahi.

Pada tahun 2015 Sabah bakal menjadi pengeluar minyak terbesar Negara lantas bagaimanakah hasil kekayaan ini dapat memberi kemakmuran kepada rakyat negeri ini?

Begitu juga dengan sumber kelapa sawit, getah, koko, tanah yang subur dan keindahan semulajadi terus mampu memberi nikmat kepada rakyat kebanyakan agar Sabah terus membangun dan bebas dari belenggu kemiskinan dan kemunduran.

Atas dasar itulah, konvensyen ini diadakan untuk mengajak rakyat sama-sama berfikir bagi membentuk politik baru untuk Sabah.

harakah/-

Tiada ulasan: