19 Oktober 2012

Kerajaan Kedah tangguh pelaksanaan AES

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -




KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah mengambil pendirian menggunakan kuasa negeri untuk menangguhkan sementara pelaksanaan Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) hingga taklimat dan kajian dibuat ke atas sistem itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi, keputusan itu dibuat setelah mendengar keluhan rakyat yang tertekan dengan pelaksanaan sistem AES oleh Kerajaan Pusat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Phahrolrazi menegaskan, denda dan kaedah yang digunakan dalam sistem AES ini amat membebankan rakyat.

"Rakyat merungut, rakyat tertekan dengan sistem ini.Kita ambil pendirian sama dengan negeri Pakatan Rakyat yang lain untuk tangguh hingga penjelasan membabitkan agensi berkaitan dibuat, dan kajian dilaksanakan," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor.

Malahan pula kata beliau,  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih tidak meluluskan lagi penggunaan atau pemasangan AES di kawasan membabitkan hak PBT di sana.

Ditanya samada keputusan itu adalan keputusan bersama pimpinan kerajaan Negeri Kedah, beliau memaklumkan ianya telah dibincang di peringkat PAS Negeri dan makluman kepada Pesuruhjaya, Dato' Seri Azizan Razak selaku Menteri Besar Kedah.

"Kita tunggu taklimat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Kementerian Pengangkutan dan dua syarikat terbabit dalam AES ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mengulas keputusan itu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar pula menyokong penuh pengumuman itu memandangkan rakyat menolak pelaksanaan kamera AES yang dikatakan akan mengkayakan kroni.

Kata beliau lagi, sistem tersebut hanyalah sebagai sandaran pemimpin BN untuk mendapat laba hasil kontrak yang bernilai RM717 juta tidak termasuk saman yang dikenakan ke atas pengguna jalan raya.

"Ini kaedah mereka nak ragut wang rakyat, nak bagi kepada kroni.Sebab itu kita di Kedah tidak mahu ia diteruskan," katanya.

Sementara itu Pengguna Lebuhraya Lembah Klang (SKVE)  mendesak kerajaan mengalihkan kamera AES daripada laluan Hospital Serdang ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Serdang, Mohd Sharifudin Johan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemilihan lokasi dan had laju bersesuaian untuk pelaksanaan sistem itu.

"Dalam keadaan kecemasan terutamanya membawa pesakit ke hospital kelajuan 80 kilometer sejam adalah tidak wajar. Kami minta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan sistem ini di lokasi bersesuaian,” katanya dalam satu laporan akhbar tempatan.

Pelaksanaan AES sejak dua minggu lalu mendapat reaksi negatif daripada pengguna jalan raya berhubung lokasi alat tersebut tidak relevan dengan situasi jalan raya.

harakah/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Selangor bila lagi nak ikut sama negeri pakatan rakyat ,kalau dah pasang suruh ahli umno bn haram jadah tanggalkan benda tu .