19 Oktober 2012

Di sebalik Laporan Ketua Audit Negara 2011

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


1.     Pihak bertanggungjawab seperti Perbendaharaan, SPRM dan PAC sewajarnya melakukan penyiasatan rapi terhadap isu-isu yang dibangkitkan melalui  Laporan Ketua Audit Negara 2011.

2.     Juga perhatian mestilah diberikan kepada apa yang dibimbangi oleh orang ramai mutaakhir ini iaitu kebimbangan terhadap kes-kes berprofil tinggi yang mungkin dengan sengaja tidak dibawa ke perhatian umum ekoran tapisan awal pemerintah bagi  mengelak liabiliti seperti yang berlaku dalam kes NFC dan penyalahgunaan wang zakat.

3.     Sebagai contohnya, Laporan Audit 2011 ini menyebut terdapat kajian Jabatan Audit Negara di dalam isu pertukaran saham MAS - AirAsia dan projek Pelabuhan Pendaratan yang gagal dan bermasalah. Namun demikian laporan audit tidak membuat sebarang rujukan terhadap kes-kes tersebut, sedang masyarakat awam menuntut suatu ketelusan. Begitu juga dengan isu penyelesaian luar mahkamah Tan Sri Tajudin Ramli yang melibatkan ratusan juta ringgit dana awam? Di manakah laporan auditnya?

4.     Laporan Audit juga membisu mengenai 1MDB, sebuah syarikat “super GLC”  walaupun Jabatan Audit Negara ada melakukan kajian ditambah pula ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat telah banyak kali menimbulkan keraguan mengenai pengurusan syarikat tersebut. Sepanjang tempoh 2011, sekurang-kurangnya 2 kali Kementerian Kewangan telah membuat pembentangan mengenai 1MDB sekaligus membuktikan wujudnya isu tertentu yang sepatutnya dilaporkan di dalam laporan audit ini.

5.     Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan sudah tiba masanya Jabatan Audit Negara diangkat sebagai satu suruhanjaya bebas. Memang benar, perjawatan Ketua Audit Negara adalah dijamin di bawah Perlembagaan setara dengan bidang kehakiman bagi memastikan kebebasannya. Namun demikian terdapat jurang perbezaan yang luas di antara kuasa Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara yang bajet dan operasinya berada di dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri lalu menimbulkan keraguan mengenai statusnya sebagai agensi pemantau yang bebas.

6.     Semangat perlaksanaan Akta Audit 1957 juga menetapkan bahawa Ketua Audit Negara perlu bekerjasama dengan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan adalah telus dan betul. Kewibawaan akta ini bergantung kepada keutuhan peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan selaku pengawalselia perbendaharaan negara yang neutral dari pengaruh agensi eksekutif yang lain.

7.     Namun demikian risiko sistemik dalam pengurusan kewangan negara menjadi semakin ketara apabila Perbendaharaan turut menjadi agensi pelaksana manakala tugasan Menteri Kewangan kini digalas oleh Perdana Menteri (yang juga turut mengepalai 2 birokrasi terbesar lain di dalam kerajaan - JPM dan KWKPM). Kuasa moral dan akauntabiliti Kementerian Kewangan telah terhakis apabila ia tidak lagi berkecuali dalam agih-kawalan perbendaharaan negara manakala Ketua Audit Negara pula tidak lagi mempunyai pegawai pengawal atasan yang neutral yang boleh mengambil tindakan pembetulan perbelanjaan kerajaan secara telus.

8.     (Lihat sahaja statistik laporan siasatan yang lambat diserahkan kepada Perbendaharaan berkaitan perbelanjaan Arahan Perbendaharaan (AP) 59 yang melibatkan Jabatan Perdana Menteri yang merupakan kes terbanyak direkodkan sebanyak 241 kes dengan kelewatan sehingga 957 hari. Itupun Jabatan Audit Negara masih memberikan penarafan akauntabiliti ‘amat baik’ kepada JPM!)

9.     Oleh itu bagi kita, laporan audit yang sengaja lambat dikeluarkan dan kes seperti yang disebutkan ini bukan sekadar menonjolkan amalan kewangan di luar kebiasaan pemerintah tetapi merupakan tanda jelas peningkatan risiko sistemik tersebut. Ianya meningkatkan ersepsi bahawa agensi kerajaan yang bermasalah mempunyai peluang untuk berkolusi di dalam menyisihkan proses audit.

10.  Walaupun ditegur oleh Ketua Audit Negara, mereka boleh pula beralasan dengan jawapan-jawapan picisan kerana mereka tahu tindakan mereka terlindung oleh kecelaruan birokrasi yang disengajakan pemerintah.

Nasrudin Hassan,
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Salam dari:
Aku Pejuang Islam ~API~

Tiada ulasan: