09 Oktober 2012

Perjanjian damai MILF sinar baru buat muslim

23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mencapai perjanjian damai awal adalah keputusan yang baik dan bakal memberi sinar baru buat masyarakat Muslim di negara itu.

“Perjanjian ini bakal menamatkan konflik bersenjata yang berterusan melebihi 40 tahun,” kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Syis Abdul Kadir.

Natijahnya, kata beliau bakal menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi bagi menamatkan pergolakan di selatan Filipina.

Pergolakan dan konflik bersenjata yang bermula seawal 1960-an dengan tertubuhnya Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) seterusnya sekumpulan dari mereka keluar dan menubuhkan MILF pada 1977.

Menurutnya, sehingga kini mereka konsisten dengan tuntutan pembebasan dan autonomi kepada masyarakat Muslim Mindanao.

Perjuangan pembebasan yang telah memakan korban lebih 120 000 adalah bukti bahawa MILF benar-benar menuntut sebuah keadilan dan hak mereka.

“Perjanjian damai yang bakal dimaterai dengan Kerajaan Filipina adalah suatu kejayaan bagi sebuah perjuangan dan seharusnya didahului dengan ucapan ribuan tahniah,” ujarnya.

Hal ini, tambah beliau kerana resolusi yang disepakati memberi keuntungan besar buat masyarkat Mindanao terutamanya yang beragama Islam.

Mereka, ujarnya bakal menduduki wilayah baru dan diberikan autonomi serta pemerkasaan perundangan syariah.

“Berita ini merupakan sinar baru buat umat Islam dan membuktikan bahawa Islam itu agama yang cintakan kedamaian dan keamanan.

“Dapat dilihat bagaimana jalan ke arah pembukaan dan pengembangan Islam di zaman Rasulullah dan khilafah,” katanya.

Jelasnya, pertempuran mata pedang merupakan pilihan yang terakhir setelah seruan dakwah ditolak, sekaligus menolak dakwaan bahawa Rasulullah dan umat Islam adalah ekstrimis.

Harapannya, ujar Syis wilayah baru yang bakal dibentuk nanti ditadbir dengan nilai keadilan, demokratis serta mengutamakan kebajikan rakyat.

“Semestinya mereka tidak mahu dibaham harimau selepas terlepas dari mulut buaya. Peluang ini perlu digunakan untuk membangun kembali sosio-ekonomi serta infrasuktur wilayah yang sekian lama bergolak.

“Hasil dan kekayaan negara perlu dikembalikan kepada rakyat,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: