09 Oktober 2012

Wang pencen cuma RM190

23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Mahat
Mahat menunjukkan surat yang menyatakan dia pernah bekerja di bawah MDKP. Mata kanan tidak berfungsi menyukarkan dia mencari pekerjaan lain.
 
TERACHI – Dengan pendapatan sebanyak RM190 sebulan hasil daripada wang pencen, sudah pasti jumlah itu tidak mampu untuk menyara keluarga lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Lebih malang lagi, Mahat Bachik, 57, yang pernah berkhidmat dengan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) selama tujuh tahun sebagai pekerja rendah awam (R11) kini disahkan buta sebelah mata susulan terkena batu ketika memotong rumput semasa dalam tempoh perkhidmatannya.

Menurutnya, dia bekerja dengan MDKP sejak 1997 dengan gaji pokok sebanyak RM384 sebulan sebelum meningkat kepada RM630.89 sebulan.

“Kemudian, saya diarahkan bekerja di bawah SWM Sdn Bhd selama tujuh tahun dengan pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan.

“Baru-baru ini, apa yang difahamkan, semua kakitangan dan pesara kerajaan berpencen serta tidak berpencen menerima faedah. Jadi, saya harap pencen saya berjumlah RM190 ini dapat dinaikkan. Kenaikan sebanyak RM300 sudah memadai.

“Saya perlu bayar sewa bagi rumah rakyat ini sebanyak RM158 sebulan. jadi, baki yang tinggal hanya berjumlah RM32,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, dia yang tiada punca pendapatan lain memohon kepada Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) supaya dapat mempertimbangkan    kenaikan pencen bagi pesara kerajaan yang berkhidmat kurang daripada 25 tahun.

“Dalam pembentangan belanjawan 2013, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah pencen daripada RM720 kepada RM820 sebulan kepada pesara yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun.

“Meskipun saya tidak mencapai tempoh itu, namun saya juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan awam,” katanya yang pernah menerima imbuhan pencen daripada SWM Sdn Bhd sebanyak RM3,000,” katanya yang juga bekas Pengerusi Persatuan Pekerja Negeri Sembilan mewakili SWM Sdn Bhd.

Menurutnya, keinginan untuk bekerja masih ada tetapi terbatas berikutan mata kanannya tidak boleh berfungsi.

“Saya juga tiada kebun mahupun harta pusaka lain untuk diusahakan. Barang-barang dapur semakin mahal, sudah pasti tidak mencukupi. Isteri saya pula, tidak bekerja.
“Justeru, saya amat berharap Ceupacs membantu pesara kerajaan yang menerima jumlah pencen terlalu sedikit,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: