09 Oktober 2012

Bau busuk hantui penduduk

23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Bau busuk hantui penduduk
Penduduk yang membantah kumbahan berbau yang tidak diselenggara.
 
JOHOR BAHRU - Penduduk di 12 blok Pangsapuri Taman Bukit Mewah, dekat sini terpaksa menahan bau busuk yang meloyakan yang mereka dakwa berpunca daripada masalah loji kumbahan yang tidak berfungsi sejak seminggu lalu.

Mereka turut mendakwa masalah itu bukan baru berlaku, malah rentetan sebelum keadaan paling kritikal sejak tujuh tahun lalu bermula dengan pam asal loji itu rosak, sekali gus mengeluarkan bau busuk dan bunyi bising.

Seorang penduduk, Khoo Boon Tiong, 55, berkata, apabila hujan, limpahan air kumbahan yang dipenuhi najis itu turut mengalir memenuhi longkang sekitar kediaman penduduk.

“Sebelum ini kami mampu bersabar, biarpun pam di situ mengeluarkan bunyi bising hampir setiap setengah jam. Saya ada buat aduan ke pihak berkaitan, namun hingga kini tiada tindakan diambil," katanya.

Seorang lagi penduduk, P Janaki, 59, berkata, dia dan keluarga terpaksa berkurung di dalam rumah kerana tidak tahan dengan bau busuk.

“Keadaan ini menjijikkan menyebabkan kami semua tidak senang duduk. Ada pernah seharian saya tidak lalu makan kerana terasa loya sehingga muntah,” katanya.

Janaki yang menetap 12 tahun di situ mengakui ketika membeli rumah terbabit, pelan menunjukkan ada kolam kumbahan berdekatan rumahnya, namun tidak menyangka ia akan mengeluarkan bau busuk apatah lagi ketika musim hujan.

Jelasnya, penduduk di situ membayar RM36 bagi setengah tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kos penyelenggaraan termasuk sistem kumbahan itu, namun ternyata ia sia-sia.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan kolam kumbahan yang jaraknya kurang lima meter dari blok 12 dan blok 4 pangsapuri terbabit mendapati air takungan di situ kehitaman.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Kempas, Suhaizan Kaiat berkata, beliau menerima laporan penduduk dua minggu lalu dan akan menghubungi pihak bertanggungjawab bagi tindakan.

“Jika perkara ini tidak diselesaikan segera ia akan mengeruhkan keadaan yang dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Burhan Amin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau akan merujuk permasalahan yang diutarakan ke bahagian saliran untuk tindakan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: