21 Januari 2013

10 burung kakak tua terselamat

9 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


10 burung kakak tua terselamat
Anggota Maritim menunjukkan burung kakak tua yang dirampas.
 
JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki menyeludup 10 burung kakak tua dari Tanjung Pinang, Indonesia, gagal apabila bot fiber yang dinaiki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Tanjung Sedili Wilayah Selatan.

Bot berkenaan ditahan di kedudukan empat batu nautika Tenggara Tanjung Stapa, perairan Pengerang, Kota Tinggi, 18 Januari lalu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Rozali Md Said berkata, dalam operasi jam 11.45 pagi itu, lima pegawai dan anggota Maritim yang melakukan rondaan di perairan Pengerang mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari negara jiran memasuki tanah air.

“Apabila kita menghampiri bot tersebut, tekong bot cuba memecut untuk melarikan diri, namun pihak kita berjaya menahan mereka.

“Kita menemui 10 burung kakak tua di dalam sangkar yang dibalut dengan guni di bot fiber tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, seorang tekong yang memegang status pemastautin tetap (kad pengenalan merah) berumur 50 tahun ditahan, manakala 10 burung kakak tua diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Johor.

Jelasnya, tekong bot bersama burung kakak tua yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Stulang Laut untuk tindakan lanjut.

“Tekong bot tersebut dari Tanjung Pinang, Indonesia, dalam perjalanan ke Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, bagi menjual haiwan berkenaan.

“Ini adalah cubaan kali kedua tekong bot untuk menyeludup haiwan yang dilindungi ke negeri ini,” katanya.

Rozali berkata, haiwan tersebut kian mendapat permintaan sehingga boleh mencecah harga RM2,000 hingga RM5,000 setiap seekor sejak kebelakangan ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

sinar/-

Tiada ulasan: