21 Januari 2013

Muhyidin dapat 'doktor', USSA dapat projek

9 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Trend untuk menerima anugerah doktor kehormat nampaknya menjadi satu amalan menjelang pilihan raya kali ini.

Selepas Perdana Menteri menerimanya, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin pula menerimanya.

Namun, ijazah kehormat yang diterima Muhyidin menjadi isu sekarang apabila pihak yang menerimanya mendapat kontrak besar dari penerima ijazah ini.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan kenapa kontrak yang diberikan kepada The United States Sports Academy (USSA) tidak melalui tender terbuka.

Beliau perlu menjelaskan perkara ini selepas  timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin menerima ijazah doktor kehormat dari kolej itu selepas menerima kontrak bernilai RM22.9 juta.

Penganugerahan doktor falsafah kohormat (PhD) kepada Menteri Pelajaran kini menjadi bualan ramai.

Ini kerana, sebelum ini kolej yang tidak ternama dan hanya mempunyai 600 pelajar luar (distance -learning) itu baru saja mendapat kontrak untuk melatih 1,000 pelajar dari Malaysia.

Pembelaan cepat yang dibuat oleh Presiden Akademiknya, Dr Thomas P Rosandich bahawa ia dibuat kerana "pencapaian seumur hidup Muhyidin kepada sukan dan layak untuk menerimanya" juga dipertikaikan.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar) dalam kenyataannya berkata, Muhyidin menerima doktor kehormat itu ketika negara jatuh teruk dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011.

Malaysia telah jatuh teruk dalam pencapaian metematik dan sains antara tahun 1999 dan 2011.

Isu yang lebih besar adalah kenapa Muhyidin telah diberikan ijazah itu ketika satu kontrak besar diberikan kepada kolej tidak ternama yang terletak di Daphne Alabama itu.

Muhyidin telah menganugerahkan kontrak untuk melatih semula 1,000 guru-guru sukan di USSA melalui “International Diploma in Physical Education and Scholastic Sports (IDPESS)” dengan nilai RM22.9 juta.

Menurut Tony, USSA mengaku, IDPESS adalah satu promram baru yang direkabentuk khas atas permintaan Muhyidin.

Tony meminta Muhyidin menjelaskan kenapa kos melatih guru sukan di USSA itu empat kali ganda berbanding Diploma in Pengajian Sukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kos kontrak yang dianugerahkan kepada Syarikat KH Sport Sdn Bhd ini adalah RM22.9 juta.

Sedangkan kos untuk melatih guru sukan di UITM hanya RM5,709 seorang untuk enam semester.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: