21 Januari 2013

Penduduk usul tiga resolusi selesai isu projek jambatan

9 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Penduduk usul tiga resolusi selesai isu projek jambatan

Sebahagian penduduk berpiket secara aman dia atas jambatan yang didakwa diragui tahap keselamatannya selain dikhuatiri menjejaskan kenteraman sekiranya dibuka kepada lalu lintas
 
KUANTAN- Projek pembesaran jambatan melintasi longkang utama berhampiran Lorong Air Putih 147 di sini bagi menggantikan jambatan sedia ada mencetus persoalan penduduk sehingga menuntut penjelasan daripada pihak berwajib dengan segera.

Susulan beberapa masalah yang dikhuatiri akan timbul, penduduk sepakat mengemukakan tiga resolusi untuk pertimbangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Choe Kok Chew, 60 berkata, antara tiga cadangan itu, penduduk mendesak supaya satu dialog diadakan bersama perunding atau wakil kontraktor berhubung aspek keselamatan jambatan itu yang didakwa agak meragukan.

Menurutnya, penduduk juga meminta supaya jambatan itu hanya dibuka kepada kenderaan ringan dan satu halangan perlu dibina di hadapan jambatan mengikut ketinggian yang sesuai.

“Kita juga minta supaya laluan ini dihadkan tempoh penggunaannya dan hanya dibuka pada waktu puncak, pagi dan petang,” katanya.

Kok Chew berkata, kebimbangan penduduk itu ada asasnya kerana dahulunya jambatan itu kecil dan hanya boleh digunakan untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal sahaja

“Selepas projek ini siap, laluan akan dibuka kepada lalu lintas menyebabkan ketenteraman kami di sini akan terganggu dengan kehadiran kenderaan di lorong hadapan rumah yang sememangnya agak sempit.

“Keadaan menjadi lebih buruk jika kenderaan berat turut menggunakan laluan itu sebagai jalan alternatif kerana secara tidak langsung akan mengundang risiko keselamatan kepada kami terutama anak-anak yang sering kali bermain di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, jambatan konkrit sepanjang kira-kira tiga meter itu turut diragui tahap keselamatannya sekiranya dibuka untuk kegunaan kenderaan berat.

“Berdasarkan kepada pengalaman saya sebagai penyelia senior sebuah syarikat pembinaan, ujian  kekuatan tanah perlu  untuk menentukan bentuk sokongan yang sesuai bagi pembinaan sesebuah jambatan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya, kontraktor langsung tidak memasang cerucuk sebaliknya hanya bergantung kepada struktur konkrit bahagian tepi tanpa sebarang sokong di bahagian tengah.

“Saya bimbang memandangkan ada pihak mengatakan jambatan itu mampu menampung bebanan sehingga 180 tan dan ia ternyata amat meragukan justeru itu kita mendesak satu dialog bersama wakil kontraktor diadakan,” katanya.

Sementara itu, Chang Ah Seong, 57, berkata sebagai penduduk, mereka berterima kasih kepada kerajaan kerana berusaha membesarkan jambatan itu bagi mengatasi masalah kesesakan di sini.

Menurutnya, ketenteraman penduduk di situ mula terganggu apabila banyak kenderaan mula menggunakan laluan tersebut walaupun pembinaan jambatan itu belum siap sepenuhnya.

“Kebanyakan pemandu menggunakan jalan itu sebagai laluan alternatif menyebabkan laluan hadapan rumah menjadi agak sesak pada waktu puncak.

“Keadaan ini mengundang kebimbangan penduduk kerana sebahagian kami terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan rumah menyebabkan laluan itu menjadi terlalu sempit dan tidak sesuai dibuka untuk laluan umum,” katanya.

Menurutnya, penduduk amat berharap agar MPK mempertimbangkan tiga resolusi yang bakal dikemukakan penduduk.

Kira-kira jam 3 petang kelmarin, sebahagian penduduk berpiket secara aman mendesak MPK mengambil langkah sewajarnya supaya persoalan dan keresahan penduduk berhubung projek itu diberi perhatian dengan segera.

sinar/-

Tiada ulasan: