9 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
BENTONG – Penjualan rokok e-elektronik bukan sahaja salah di sisi
undang-undang, malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai
penyakit kronik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penjualan bahan
dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan
cecair nikoton untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak
melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua
sekali,” katanya.
Rokok elektronik sebelum ini dianggap sebagai alternatif yang selamat kepada tabiat merokok. Bagaimanapun, satu penyelidikan terbaru menunjukkan ia juga mampu merosakkan paru-paru bagi mereka yang menggunakannya.
Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh
darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara
paru-paru.
Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit, kata sebuah
laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan
Eropah (ERS) di Vienna.
Sama seperti rokok biasa, rokok elektronik turut membebaskan nikotin
melalui wap berbanding asap dan ia mencetuskan banyak perdebatan tentang
keselamatan untuk menggunakannya.
Kira-kira 650,000 perokok dipercayai menggunakan rokok elektronik
yang menyerupai rokok sebenar dalam usaha membuang tabiat buruk itu.
Bagaimanapun buat masa ini, kebanyakan alat itu diimport dari China
dan dipercayai tidak menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum ia
dijual.
Profesor Christina Gratziou yang mempengerusikan Jawatankuasa Kawalan
Tembakau ERS berkata, mereka belum pasti sama ada produk yang
mengandungi nikotin tidak diluluskan itu lebih selamat berbanding rokok
sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.
“Penyelidikan ini membantu kita memahami bagaimana rokok elektronik boleh mendatangkan bahaya.
“Justeru, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sama
ada kemudaratan itu boleh memberi kesan dalam jangka panjang,” katanya. –
AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan