KUALA LUMPUR 20 Jan: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),
Badrul Hisham Shaharin berkata, kemasukan cincin RM24 juta yang
dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor tidak dibuat mengikut prosedur
kastam.
“Ikut prosedur kastam, cincin itu perlu diikrar ketika urusan keluar masuk negara. Tetapi kenapa ia tidak diikut?
“Begitu juga dengan nilai Free on Board (FOB) dan nombor invois yang
berbeza pada borang keluar dan masuk, ia sepatutnya sama,” katanya
lagi.
Pada 13 Julai 2011, Badrul atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard
membuat laporan berhubung isu ini di pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.
Ekoran itu, SPRM menahan pegawai kastam, A Krishnan namun siasatan
berkisar kemasukan cincin itu yang tidak dikenakan sebarang cukai.
Menurut Badrul, Datuk Seri Najib Razak setahun sebelumnya memansuhkan
cukai ke atas barang kemas, perhiasan serta pakaian ketika pembentangan
belanjawan di Parlimen.
“Hal ini ramai yang terlepas pandang. Adakah pemansuhan itu
semata-mata bertujuan untuk perbelanjaan mewah seperti ini?,” soalnya
lagi ketika dihubungi.
Baru-baru ini, media melaporkan kenyataan isteri perdana menteri itu
yang ‘bersumpah tidak memiliki cincin itu di tangannya’, namun mengaku
barang kemas itu ada dibawa masuk.
Dalam pada itu, Badrul menyifatkan isu ditumbulkan semula, akibat serangan dari dalam Umno yang bertujuan menjatuhkan Najib.
“Dahulu strategi Rosmah yang membisu tentang isu ini berjaya buatkan
rakyat lupa. Namun kini ia timbul kembali (sebagai) serangan ‘kasar’
dari dalam Umno sendiri ke atas kelemahan terbesar Najib, iaitu Rosmah,”
katanya.
keADILANDAILY/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan