04 Januari 2013

Tidak tidur sejak 13 tahun

21 Safar 1433H. [MOD] -

Tidak tidur sejak 13 tahun
Ibrahim tidak pernah tidur sejak 13 tahun lalu apabila jatuh sakit dan banyak menghabiskan masa di biliknya.
MACHANG - Bekas imam, Ibrahim Nor, 73,  tidak pernah tidur dan menghabiskan masa dengan merangkak mengelilingi ruang rumahnya pada waktu malam sejak sakit, 13 tahun lalu.

Isterinya, Rokiah Mustafa, 60, berkata,  Ibrahim tidak mampu berjalan dan melihat dengan baik sejak sakit dan banyak menghabiskan masa dengan duduk di biliknya pada waktu siang.

Katanya, pertuturan bekas imam Madrasah Kampung Laklok itu juga tidak jelas dan banyak menggunakan bahasa isyarat jika ingin memberitahu sesuatu.

“Makcik juga tidur-tidur ayam, bimbang pakcik akan membuka pintu dan keluar dari rumah pada waktu malam. Makcik sendiri tidak tahu apa penyakitnya namun dia tidak mampu menguruskan diri dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

“Kami tidak mempunyai anak, mujur ada anak saudara yang menolong saya enjaganya. Sebelum sakit, pakcik pernah beritahu dia dipatuk ular tetapi apabila makcik memeriksanya, tiada kesan patukan malah dia juga sihat seperti biasa namun lebih kurang dua minggu selepas itu, dia mula sakit dan tidak mampu menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laklok, di sini, semalam.

Rokiah berkata, mereka sekeluarga bergantung hidup kepada hasil jualan pertanian suaminya dan hilang punca rezeki sejak Ibrahim  sakit.

Katanya, bagi mencari sesuap nasi, dia turut mengambil upah menjual ubat-ubat  tradisional dengan menjaja di sekeliling kampung dan kawasan sekitar.

“Selain itu, wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, turut membantu meringankan kesusahan kami memandangkan kesihatan makcik juga tidak berapa baik dan tidak mampu keluar menjual ubat setiap hari.

“Kalau makcik sihat dan ada orang tolong jagakan pakcik, makcik  akan keluar menjual ubat.  Makcik juga bimbang apabila kami tidak dapat membuka  uku akaun sebagaimana yang diminta JKM bagi menyalurkan bantuan bulanan kepada pakcik.

"Makcik tiada kenderaan lagipun susah nak bawa pakcik ke bank untuk buka buku akaun. Makcik berharap perkara ini dapat diselesaikan segera agar bantuan itu dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Rokiah berharap ada pihak yang sudi membantu mengubati penyakit suaminya termasuk melalui perubatan alternatif.

Katanya, pelbagai usaha yang dilakukan bagi mengubati penyakit suaminya yang pelik, namun masih belum berhasil tambahan pula,  wang yang ada hanya cukup untuk keperluan harian.

sinar/-

Tiada ulasan: