|
WASHINGTON – Berat badan berlebihan beberapa kilogram bukan sesuatu
yang buruk, demikian menurut satu analisis baharu melibatkan hampir tiga
juta orang. Analisis tersebut yang dibuat di Amerika Syarikat (AS)
mendapati mereka yang memiliki berat badan berlebihan atau sedikit obes
berkecenderungan hidup lebih lama. Namun, pakar-pakar kesihatan memberi
amaran manfaat tersebut akan hilang sekiranya berat berlebihan beberapa
kilogram itu bertambah dengan banyaknya.
Para penyelidik kajian berkenaan menggunakan data daripada hampir 100
kajian di seluruh dunia merangkumi maklumat kesihatan melibatkan lebih
2.8 juta orang dewasa. Antara sampel populasi tersebut, terdapat sekitar
270,000 kematian sepanjang tempoh kajian dijalankan. Selepas beberapa
faktor lain seperti usia, jantina, tabiat merokok telah dikawal,
kumpulan dengan ketinggian dan berat badan ‘berlebihan’ didapati kurang
berisiko untuk mati sebanyak enam peratus berbanding mereka yang
memiliki berat badan normal.
Kajian sama turut mendapati mereka yang ‘sedikit obes’ dengan
ketinggian dan berat merangkumi indeks jisim badan (BMI) antara 30
hingga 35 didapati lima peratus kurang berisiko meninggal dunia
sepanjang tempoh kajian. Namun, bagi mereka yang obes dengan BMI 35 dan
ke atas, kadar kematian melonjak sebanyak 29 peratus berbanding subjek
yang mempunyai berat badan normal. Penemuan terbaharu itu disiarkan
Selasa lalu dalam jurnal saintifik, Journal of the American Medical
Association (JAMA).
Pengarang-pengarang kajian itu memberikan beberapa sebab mengapa
sedikit berat berlebihan baik untuk tubuh manakala berat ekstrem pula
memudaratkan manusia. Mereka berkata, pertambahan lemak badan
membekalkan manfaat metabolisme yang dapat melindungi jantung atau
simpanan lemak berlebihan dapat membantu semasa ketiadaan selera makan
ketika sakit. Ketua penyelidik berkenaan daripada Pusat AS Untuk Kawalan
dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah menyiarkan satu kajian kontroversi
pada 2005.
Kajian itu menunjukkan terdapat kaitan antara berat berlebihan dan
jangka hayat lebih lama. Namun, kali ini, analisis kajian serupa dibuat
berdasarkan sampel lebih besar yang diambil dari negara-negara berbeza
di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Amerika Selatan. Dua saintis
bioperubatan, Steven Heymsfield dan William Cefalu dalam satu editorial
yang turut disiarkan Selasa lalu dalam jurnal JAMA mengulas, kajian
terbaharu itu dan beberapa penyelidikan lain menunjukkan sejumlah kecil
lemak berlebihan memberikan simpanan tenaga yang diperlukan badan
manusia ketika sakit atau membantu dalam cara lain.
Kata mereka, faktor-faktor tersebut masih memerlukan kajian lanjut.
“Penemuan ini menunjukkan tidak semua pesakit yang diklasifikasi
mempunyai berat berlebihan atau obesiti tahap satu terutamanya mereka
yang menghidap sakit kronik memerlukan rawatan pengurangan berat badan,”
jelas mereka. Pengarah CDC, Thomas Friedan ketika mengulas penemuan
tersebut berkata: “Kita perlu lebih belajar tentang obesiti termasuk
kaedah terbaik untuk mengiranya”. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan