21 Safar 1433H. [MOD] -
|
JAKARTA - Syarikat penerbangan Indonesia, Garuda menerusi bahagian
tambang murahnya, Citilink menyatakan telah menempah 25 buah pesawat
turboprop daripada ATR dalam usaha memenuhi pasaran penerbangan domestik
yang pesat berkembang menerusi pembelian bernilai AS$500 juta (RM1.5
bilion).
"Kami telah menempah 25 unit pesawat ATR 72-600, selain akan menyewa atau membeli 25 buah pesawat lagi pada tahun 2015.
"Dengan pesawat baharu ini, kami mahu menembusi wilayah-wilayah
pedalaman dan bandar-bandar yang mempunyai kemudahan penerbangan
terhad," kata Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo.
Rakyat Indonesia bergantung kepada pengangkutan udara berikutan
kedudukan geografi gugusan kepulauannya. Syarikat penerbangan di
Indonesia juga sering membuat pembelian pesawat dalam jumlah yang besar
berikutan golongan pertengahan negara itu kian meningkat.
Pada November 2011, Lion Air mengumumkan tempahan pesawat komersial
terbesar di dunia apabila menyatakan hasrat untuk membeli 230 unit
pesawat Boeing bernilai lebih AS$20 bilion (RM60 bilion).
ATR ialah syarikat kerjasama Perancis dan Itali yang berpangkalan di
Tolouse, Perancis. Ia menghasilkan pesawat turboprop yang berharga lebih
AS$20 juta (RM60 juta) sebuah.
Citilink dijangka menerima lima buah pesawat pertamanya pada
September depan. Bakinya dihantar menjelang 2017 dengan kontrak
pembelian akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.
Citilink kini memiliki 21 buah pesawat, termasuklah Airbus A320 dan Boeing 737. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan