19 April 2013

Cari pucuk paku jumpa mayat

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Cari pucuk paku jumpa mayat

Pasukan forensik melakukan pemeriksaan terhadap mayat dan lokasi berhampiran, semalam.
SHAH ALAM - Seorang lelaki dikejutkan dengan penemuan mayat diikat dan kesan tetak di kepala ketika dia sedang mencari pucuk paku di Jalan Padang Jawa 2, Padang Jawa, di sini, semalam.
Mayat lelaki itu ditemui dalam kawasan paya berhampiran Sungai Klang, kira-kira jam 9 pagi.
Saksi yang enggan dikenali itu berkata, setiap hari dia akan ke kawasan tersebut untuk mencari pucuk paku.

“Saya baru sampai dan selepas meletakkan motosikal, saya pergi ke kawasan paya itu untuk melihat ikan.
“Tidak disangka ada mayat lelaki dalam keadaan meniarap, tangannya diikat dan kesan tetak di kepala,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, dia seterusnya memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan tetak di belakang badan dan kepala mangsa.

“Mangsa dipercayai mati kurang 24 jam. Kita tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya ditemui.

Zahedi berkata, mangsa merupakan warga Myanmar berdasarkan beberapa tanda di anggota badan.

“Identitinya belum diketahui dan kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi bantu siasatan.

Sinar/-

Tiada ulasan: