19 April 2013

Parti baru, ramai calon bebas dijangka bertanding di Kedah

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




ALOR STAR — Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Kedah esok dijangka menyaksikan banyak parti akan membuat kemunculan kali pertama, selain ramai calon Bebas.
Ketika ramai yang menjangkakan persaingan sengit antara Barisan Nasional (BN) dengan pakatan rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, muncul parti baharu seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA).
Selain itu, beberapa calon Bebas yang terdiri daripada pemimpin dan bekas wakil rakyat pakatan pembangkang juga dijangka membentuk pakatan bebas untuk bertanding pada PRU13 kali ini.
Yang pasti, sehingga kini kawasan yang dijangka paling “meriah” dengan calon ialah Parlimen Kota Star dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata.
Bagi Parlimen Alor Star, selain BN yang akan meletakkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung sebagai calon, dan PKR menerusi Gooi Hsiao Leung, BERJASA dan BERSAMA, parti yang diasaskan di Sabah dan kali pertama mahu bertanding di Semenanjung, dijangka meletakkan calon masing-masing.
BERJASA dijangka meletakkan Abdul Fisol Md Isa manakala BERSAMA menurunkan timbalan presidennya bagi Semenanjung Malaysia Jawahar Raja Abdul Wahid.
Bagi DUN Bakar Bata, kawasan yang akan diwakili Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah, PKR dijangka meletakkan Mohd Eekmal Ahmad manakala Jawahar Raja turut mengumumkan akan bertanding di situ.
DAP sebelum ini dikatakan mahu meletakkan seorang calon Melayu di kerusi itu dan bersedia berdepan dengan PKR, selain beberapa lagi individu yang mahu bertanding sebagai calon Bebas.
BERJASA, yang ditubuhkan pada 1977 sebagai parti alternatif kepada PAS, juga menyatakan hasrat mahu bertanding di Parlimen Padang Serai serta DUN Derga dan Gurun.
Parti KITA pula yang mengumumkan sembilan calon untuk kawasan selatan Kedah serta kawasan ramai masyarakat berketurunan Siam, menyenaraikan tiga calon berketurunan Siam untuk bertanding di Parlimen Pendang serta DUN Sungai Tiang dan DUN Pedu.
Bagi calon Bebas, ramai yang dijangka tertumpu di selatan Kedah, termasuk beberapa Exco kerajaan negeri PAS, yang digugurkan kali ini. – Bernama 

Tiada ulasan: