19 April 2013

Pilihan rakyat Ghani atau Kit Siang

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Lim Kit Siang dan Abdul Ghani Othman

Lim Kit Siang dan Abdul Ghani Othman
SENGIT! Pertembungan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani pasti menjadi pertandingan tumpuan bukan sahaja di kalangan masyarakat malah menjadi isu nasional dan dunia pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kedudukan Gelang Patah menjadi bualan ramai apabila bekas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon bagi kerusi Parlimen Gelang Patah pada sambutan Ulang tahun DAP ke-47 di kawasan lapang berhampiran Sutera Mall, Skudai, 18 Mac lalu.

Keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) meletakkan Kit Siang jelas membuktikan DAP, PKR dan Pas begitu bersungguh-sungguh menawan Putrajaya.

Meskipun pemilihan veteran DAP itu seakan sudah dijangka oleh semua ahli PR di Johor dan negara ini, namun ia merupakan  perkara ‘luar biasa’ buat masyarakat setempat khususnya di Gelang Patah.

Bagi penyokong tegar PR pula, mereka sudah tentu menyokong calon yang ditonjolkan pucuk pimpinan malah yakin mampu memperoleh  kemenangan berdasarkan ketokohan Kit Siang selepas 47 tahun berkecimpung dalam politik.

Melihat kepada percaturan dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PR, Barisan Nasional (BN) juga tidak mahu ketinggalan meletakkan calon yang kuat untuk berdepan dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng itu.

Tatkala jentera BN bagi kawasan Parlimen Gelang Patah berkeyakinan Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Siew Hock  bakal dipilih oleh pucuk pimpinan, secara tiba-tiba nama Abdul Ghani ‘naik’ sebagai calon.

Nama bekas Adun Serom itu diumumkan selaku calon BN bagi Parlimen Gelang Patah pada Majlis  Pengumuman Calon BN Negeri Johor di Hotel M Suites, di sini kelmarin.

Malah beliau (Abdul Ghani) sendiri menerima keputusan pucuk pimpinan yang meletakkan dirinya bagi kerusi berkenaan dengan hati terbuka malah mengakui sudah bersiap sedia memikul cabaran baru untuk berdepan Kit Siang.

Bagaimanapun, keputusan pucuk pimpinan meletakkan Abdul Ghani ternyata menimbulkan kekecewaan kepada penyokong tegar Jason  Teoh yang amat berharap calon ‘favourite’ mereka dipilih pada PRU13.

Sebelum Menteri Besar Johor itu diumumkan selaku calon Parlimen Gelang Patah sekali pun, golongan berkenaan yang menggelar kumpulan mereka sebagai Jawatankuasa Gerak Kerja Penyokong Teoh Siew Hock sudah berhimpun, pada 14 April lalu.

Kumpulan ini secara sebulat suara bersedia untuk memberhentikan gerak kerja jentera MCA bagi kerusi berkenaan sekali gus  membubarkan jawatankuasa itu serta merta.

Selain itu, kumpulan yang terdiri lebih 600 ahli itu juga melaungkan persetujuan dan sokongan tidak berbelah bagi sekiranya Jason Teoh bertanding atas tiket Bebas pada PRU13.

Berdasarkan kepada situasi berkenaan, boleh jadi Abdul Ghani sudah hilang undi daripada kumpulan berkenaan yang hanya mahu melihat anak tempatan (merujuk kepada Jason Teoh) bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah.

Rata-rata kumpulan berkenaan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum; latar belakang; berbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Sekiranya ia benar berlaku, sudah tentu Pengerusi BN Johor ini tidak berdepan laluan mudah untuk menentang Kit Siang pada PRU13 meskipun memiliki kredibiliti selaku Menteri Besar selama empat penggal.

Kini timbul pula persoalan kerusi Parlimen Gelang Patah bakal menjadi ‘kubur’ buat Kit Siang seperti dilaungkan oleh ahli BN  atau ‘kubur’ kepada Abdul Ghani yang akhirnya mencalarkan karier politik kedua-dua pemimpin ini.

Walaupun Kit Siang enggan mengulas lanjut mengenai perletakan calon bagi kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan BN, namun ia pasti memberikan ‘satu senyuman’ buat pemimpin DAP itu.

Diawal kehadiran pemimpin ‘otai’ itu ke negeri ini, Kit Siang mengandaikan menerima sokongan lebih 60 peratus pengundi Cina buatnya, namun  ada yang melaporkan kedudukannya tergugat sebaik Abdul Ghani dicalonkan. Dikatakan hanya 30 peratus pengundi Cina menyebelahi orang kuat DAP itu. Benarkah?

Pengundi di situ, dikhabarkan beralih arah dan menyokong Abdul Ghani yang disifatkan senior dan ‘orang lama’ di Johor.

Namun kekecohan yang berlaku dalam BN, mengheret campur tangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pantas meminta Jason Teoh memainkan peranannya kerana mengandaikan pemilihan Menteri Besar bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah tidak akan menjejaskan kempen BN di kawasan itu.

Mengakui Jason Teoh seorang tokoh MCA yang baik dan mempunyai pengaruh besar di Gelang Patah berharap pertarungan  kerusi ‘panas’ itu dapat dilihat pada konteks lebih luas malah memohon  campur tangan Jason  menenteramkan penyokong di kawasan berkenaan dan menghormati pucuk pimpinan.

Persoalannya, sejauh mana keterbukaan dan penerimaan penyokong-penyokong Jason Teoh terhadap nasihat Muhyiddin yang mahu mereka bersikap lebih ‘tenang’ seterusnya memberi sokongan kepada Abdul Ghani?

Undi adalah rahsia! Jadi ke manakah undi mereka selepas ini berikutan pemimpin disayangi mereka tidak dicalonkan meskipun sudah berbelas tahun memperjuangkan nasib rakyat Gelang Patah?

Meskipun Jason sudah membuat kenyataan media bahawa akan akur dan terima sebarang keputusan pucuk pimpinan sama ada tercalon atau tidak, penyokongnya belum tentu akan bersikap reda dengan pemilihan pucuk pimpinan.

Mahu tak mahu, pucuk pimpinan BN di peringkat pusat dan negeri sendiri perlu bersama Jason untuk menenangkan suasana agar Abdul Ghani tidak menerima impak negatif pada 5 Mei ini.

Segeralah bertindak dan ‘mengubati luka’ penyokong-penyokong Jason khususnya masyarakat Cina yang sejak dahulu lagi bersama MCA Bahagian Gelang Patah.

Mengikut rekod, Parlimen Gelang Patah memiliki 106,864 pengundi terdiri daripada 34.2 peratus Melayu; 52.4 peratus  Cina dan 12.5 peratus India dan 0.8 peratus lain-lain.

Sinar/-

Tiada ulasan: