19 April 2013

ROS sedang bincang pengiktirafan CEC DAP

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedang mengadakan perbincangan mengenai surat yang dihantarnya kepada DAP, memaklumkan bahawa ia tidak mengiktiraf jawatankuasa eksekutif (CEC) parti tersebut, kata Ketua Pengarahnya Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang diperlukan kemudian.

Abdul Rahman menyatakan demikian dalam mesej SMS tanpa mengulas lanjut mengenai bentuk tindakan seterusnya.

Dilaporkan DAP telah meminta ROS menarik balik surat bertarikh 17 April itu menjelang jam 3 petang hari ini.


Surat itu dihantar ekoran dakwaan berlaku kesilapan teknikal dalam pemilihan parti tu tahun lepas.

DAP menimbang untuk bertanding bawah tiket PAS di semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak, jika ROS tidak menarik balik surat itu. 

Ini walaupun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan bahawa DAP masih boleh untuk bertanding walaupun tanpa pengiktirafan ROS.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP, Karpal Singh memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu tidak akan memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan ROS itu, tetapi mereka sedang menunggu keputusan sama ada ia akan menarik balik surat itu hari ini.

"Kami akan menunggu tempoh akhir yang ditetapkan sehingga jam 3 petang ini," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: