24 April 2013

Kenyataaan Zambry tidak masuk akal - Nizar

13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH: Calon PAS bagi Dun Cangkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa tuduhan Datuk Seri Dr Zambry Kadir yang mengatakan Pakatan Rakyat meniru manifesto BN adalah tidak masuk akal.

Menurutnya, tuduhan tersebut ternyata tidak benar kerana Pakatan Rakyat telah awal lagi melancarkan manifesto sedangkan BN baru sahaja melancarkan manifesto kelmarin iaitu dua hari selepas penamaan calon.

“Kami sudah lancar seminggu lebih awal daripada mereka, adakah masuk awal dakwaan BN yang menuduh kami meniru manifesto mereka?,” katanya dalam sidang media di Pejabat Sekreteriat Pakatan Rakyat Perak, Ipoh, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boo Chye, Setiausaha PAS Perak, Dr Muhaimin Sulam dan Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama menyiapkan draf manifesto selepas rampasan kuasa berlaku pada 2009 lalu.

Menurut beliau lagi, Pakatan Rakyat ketika itu memang sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya kecil negeri akan berlaku disebabkan tragedi rampasan kuasa oleh BN itu.

Katanya, antara kenyataan Zambry yang disifatnya lucu ialah mendakwa Pakatan Rakyat meniru tentang pemberian air percuma.

Jelas beliau, Pakatan Rakyat sudah memberikan air percuma sejak awal lagi ketika mendapat mandat memerintah pada tahun 2009 lalu.

“Macam mana dia boleh cakap kita tiru BN sedangkan kita sudah laksakan janji tersebut ketika diberi mandat selepas PRU12 lalu.

Adakah beliau sedar ketika mengeluarkan kenyataan, saya harap Dr Lee boleh ‘chek’ dia,” katanya dalam nada sinis.

Mohammad Nizar menjelaskan,  pada hakikatnya, BN sebenarnya yang menciplak manifesto Pakatan Rakyat.

Katanya, banyak janji yang dikemukakan dalam manifesto BN adalah tawaran yang ada di dalam manifesto Pakatan Rakyat yang sudah awal lagi dilancarkan.

“Dia (Zambry) tuduh kita tiru tapi pada hakikatnya BN yang banyak tiru manifesto Pakatan Rakyat yang sudah dilancarkan seminggu lebih awal daripada mereka,” ujar beliau lagi.

sinar/-

Tiada ulasan: