24 April 2013

Tak puas hati calon punca 30 ahli tinggalkan Umno

13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUBANG KERIAN: Tidak puas hati pemilihan calon membuatkan 30 ahli dan penyokong Umno di Kampung Belukar Limbat Dun Pasir Tumbuh meninggalkan parti Melayu itu.

Ekoran itu banyak pos dan bilik gerakan Umno di Kubang Kerian yang dibuka sebelum ini ditutup sebagai tanda protes.

Lebih memeranjatkan lagi apabila kumpulan ahli dan penyokong Umno itu diketuai Mohd Rozi Mat Hussin, 35 menyerahkan borang menyertai PAS malam tadi.

Rozi berkata, pemilihan calon Umno untuk kerusi Parlimen Kubang Kerian, Anuar Safian dan Dun Pasir Tumboh, Mohd Shamsul Yusof tidak disenangi ramai ahli dan penyokong Umno peringkat cawangan.

Malah katanya pemimpin di peringkat bahagian Kubang Kerian juga kecewa terhadap tindakan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed mengenepikan mereka yang sudah lama berjuang.

“Kami tidak akan lagi memberi sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum kali ini. Pimpinan Umno di peringkat negeri dan pusat tidak pernah mendengar cadangan akar umbi,” katanya di sini.

Rozi juga berkata, walaupun BN meletak calon lepasan agama, namun pengundi di Dun Pasir Tumboh tahu calon yang ditampilkan sekarang hanya bidang terjun.

“Kami tidak mengenali calon yang diletak mewakili Umno biar pun juga dikatakan seorang ustaz,” ujarnya.

Beliau menyerah borang kepada calon PAS Dun Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunus. Turut hadir Penghulu Mukim Guntung, Nik Azhan Nik Muhammad.

Manakala di Dun Manek Urai, sebuah keluarga di Kampung Manjor menerima ugutan pemimpin Umno mahu menyodok rumahnya selepas mereka menyertai PAS pada 2004.

Rumah penduduk terbabit dibina di bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) dibiayai kerajaan pusat.

Bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Lepan Meranti, Kampung Manjor, Aminah Ali, 43 berkata, beliau tetap menyertai PAS biar pun diugut pemimpin Umno.

Ketika ditemui semalam katanya, beliau dan suami, Mohd Sam Yaacob, 46 memilih PAS yang memperjuangkan Islam sebagai wadah baru perjuangan.

“Hasil kesedaran, ceramah dan gerak kerja pimpinan PAS tempatan banyak memberi dorongan kepada kami memilih PAS,” katanya.

Seorang lagi penerima rumah PPRT Rahmah Mohd Rashid, 38 dari kampung sama turut menyertai PAS biar pun juga berdepan dengan ugutan pemimpin Umno.

Sementara itu di Pengkalan Chepa sebuah keluarga penyokong Umno di Kampung Pantai Kundur menyertai PAS malam tadi. Zulkifli Ismail menyerah borang kepada calon PAS parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: