04 April 2013

Pemimpin amanah pilihan rakyat

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


RAKYAT sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting dan amat besar.

Rakyat juga akan ditanya jika tersalah memilih pemimpin mereka yang tidak amanah. Beberapa sifat baik seperti amanah, jujur dan sentiasa memikirkan kebaikan terhadap perkhidmatan rakyat tentunya akan menjadi pilihan.

Sebagai pengundi dan pemilih kepada pemimpin, wajarlah seseorang itu memerhati dengan mata hati; merenung jauh dengan bijaksana akan pemimpin  yang bakal dipilih memimpin mereka.

Jika tersalah pilih selama lima tahun rakyat akan menerima tempias dan kesannya.

Justeru, pemimpin yang amanah akan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Seseorang pemimpin itu tidak akan mengecewakan dan menghampakan harapan orang yang memberikan kepercayaannya. Begitulah sepatutnya dengan pemimpin politik masa kini.

Pemimpin sepatutnya tidak akan menghampakan harapan orang yang memberikan kepercayaan kepadanya khususnya rakyat dan pengundi.

Pemimpin yang amanah akan menjaga imej dirinya, menjaga kerjanya seperti tidak menyalahgunakan wang rakyat.

Seseorang pemimpin akan  merahsiakan sesuatu perkara yang diamanahkan kepadanya.

Pemimpin yang amanah sentiasa bercakap benar, menunaikan janji-janjinya serta mendukung slogan dan kata-kata “Bersih, Cekap dan Amanah”. Banyak kalangan pemimpin politik yang kadang-kadang bercakap dan berjanji tetapi tidak menunaikan janji.

Sikap amanah perlu dijadikan pegangan hidup setiap mereka yang ingin menjadi pemimpin.
Sebagai contoh bersikap amanah dalam organisasi pentadbiran atau kegiatan politik. Sikap amanah ini juga adalah sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai.

Janji-janji dalam manifesto parti dalam PRU13 juga adalah amanah yang mesti ditunaikan.

Jika janji dalam manifesto parti pada PRU12 lalu belum ditunaikan, rakyat pastinya akan menanti dan memastikan, sama ada janji tersebut sudah dilaksanakan atau belum. Jangan janji sampai memakan diri dan parti.

Sikap amanah ini dapat dilihat melalui percakapan dan kelakuan seseorang pemimpin. Tidak melakukan pengkhianatan terhadap rakyat. Melakukan aktiviti pembangunan secara terkawal. Mengawal dan mengurangkan aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan.

Manusia yang tamak akan meneroka dan memusnahkan alam. Manusia yang rakus lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin untuk memakmurkan alam.

Semua agama menekankan kepentingan nilai amanah dalam kehidupan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janjinya.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).

Sabda Baginda juga, “Akan sentiasalah umatku dengan kebaikan selama dia tidak melihat sifat amanah itu sebagai harta rampasan dan sedekah itu sebagai denda.”

Justeru, pemimpin yang amanah dan menunaikan banyak kemahuan dan perkhidmatan untuk rakyat pasti akan dipilih oleh rakyat dalam PRU13. Mereka yang tidak mempunyai sikap ini akhirnya lambat laun akan ditolak oleh rakyat  sebagai pengundi.

Keistimewaan seseorang pemimpin adalah apabila berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.
Sikap pemimpin yang amanah adalah pada menyempurnakan satu tanggungjawab yang hebat dan mulia. 
Inilah tanggungjawab pemimpin yang paling besar dan paling mencabar dalam melaksanakan tugasnya.
Amanah lawannya khianat. Melaksanakan amanah adalah pintu rezeki. Melakukan khianat akan memendekkan usia kepimpinan.
Bagi mereka yang amanah akan sentiasa berusaha melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.
Pemimpin yang amanah akan sentiasa disokong oleh rakyat dan pengundinya. Ini pasti terbukti melalui PRU13 yang sudah semakin dekat dan mencabar, apatah lagi Parlimen sudah dibubarkan semalam.
Sinar/-

Tiada ulasan: