04 April 2013

Taib enggan beri kerjasama pada SPRM

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau "tidak akan bekerjasama" dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung siasatan mengenai urusniaga belakang tabir didakwa melibatkan anggota keluarganya.

SPRM juga tidak layak mendapat kerjasama darinya kerana kerana suruhanjaya itu didakwa bertindak "nakal” dan “tidak jujur”, kata Abdul Taib ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat dewan tertinggi BN di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Taib juga menegaskan beliau tidak takut untuk disiasat oleh badan anti-rasuah itu.

"Mereka tidak layak terima kerjasama dari saya kerana mereka nakal dan tidak bertindak jujur.

"Biarkan mereka (SPRM) buat kerja. Selagi mereka berlaku adil saya tidak takut," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.

Taib juga menafikan tanggapan bahawa isu yang dibongkarkan melalui satu video oleh NGO antarabangsa Global Witness itu akan menjadi bebanan kepada BN dalam pilihan raya akan datang.

Malah, beliau juga berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga kepada BN di Sarawak dalam pilihan raya umum ke-12.

"Saya bebanan? Saya telah menang pada pilihan raya lalu dengan lebih dua pertiga majoriti dan mereka tidak kisah pun tentang perkara ini," katanya lagi.

Ditanya lagi sama ada pendedahan tersebut memberi kesan terhadap sokongan rakyat di Sarawak terhadap BN, Taib berkata kesannya amat kecil.

"(Kesannya) Minimum. Ia tidak bersesuaian dengan sentimen penduduk tempatan," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: