04 April 2013

Najib takut umum senarai calon Umno BN

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 4 Apr: Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak takut untuk mengumumkan senarai calon Barisan Nasional lebih awal kerana masalah dalaman yang buruk dalam parti itu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurutnya, ketakutan sebenar Najib adalah isu sabotaj di kalangan mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan kecewa kerana diketepikan.

Keresahan itu, katanya, terpapar jelas ketika presiden Umno itu mengumumkan pembubaran parlimen semalam, malah hingga tersasul menyebut tentang tarikh pembubaran.

” Saya percaya keresahan itu membuktikan wujud pelbagai masalah dan konflik dalam Umno BN.  Konflik dalaman parti itu akan bertambah parah jika beliau mengumumkan senarai calon lebih awal,” kata Shamsul.
Najib sebelum ini mengumumkan hanya calon boleh menang (winnable candidate) yang akan diberi kepercayaan bagi mewakili 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN seluruh negara.

Berdasarkan laman web Barisan Nasional, ia memaklumkan senarai  tersebut hanya akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon.

Antara negeri yang dilaporkan telah menyerahkan senarai tersebut kepada Najib ialah Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat, gabungan parti itu sudah menetapkan tarikh pengumuman bagi senarai calon secara berperingkat mulai malam ini.

Manakala sebahagian calon telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah-ceramah Pakatan Rakyat.

“Kepimpinan Pakatan Rakyat ternyata lebih berkeyakinan dan bersedia untuk menghadapi PRU dengan mengumumkan calon terlebih dahulu secara berperingkat dan senarai penuh calon-calon akan disiapkan sepenuhnya dalam beberapa hari lagi,” kata Shamsul.
“Saya memohon rakyat supaya membuat penilaian yang tepat pada PRU nanti dengan memberi mandat kepada parti yang lebih yakin dan bersedia untuk mengangkat martabat rakyat dan memacu negara ke arah lebih baik,” katanya.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: