04 April 2013

PRU13: Adakah Samy Vellu bertanding semula?

23 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat Datuk Seri S. Samy Vellu memberikan signal bahawa beliau bersedia dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi lamanya iaitu Parlimen Sungai Siput.
Koordinatornya, Salman Saleh (gambar) berkata demikian melihat kepada kenyataan bekas Presiden MIC semalam yang menyatakan secara terbuka bahawa beliau adalah calon ‘boleh menang’.

Justeru, beliau bertanya adakah Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi BN negeri telah menyenaraikan Samy Vellu sebagai calon pada PRU13 nanti.

“Adakah Datuk Seri G. Palanivel, Presiden MIC yang juga Pengerusi MIC Negeri Perak telah bersetuju menetapkan kerusi untuk bekas Presidennya bertanding pada PRU13 kali ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, walaupun Samy Vellu tidak merujuk kebenaran untuk bertanding semula daripada BN Perak, ia secara tidak langsung menunjukkan Zambry tidak mampu menyekat bekas Presiden MIC itu jika Datuk Seri Najib selaku Pengerusi BN memberikan keizinan kepadanya untuk bertanding kelak.

Katanya, jika Samy Vellu tidak dibenarkan untuk bertanding, ini menunjukkan BN tidak lagi memerlukan beliau dan secara tidak langsung tidak mengiktiraf peranannya selama ini untuk pembangunan kaum India.

“Nampaknya pergolakan dalaman dalam BN Perak semakin bergelora dan ianya akan lebih bergelora lagi bila hampir masa penamaan calon pilihanraya kelak,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: