27 Mei 2013

Angkat sumpah Khamis, tiada ketua PR Selangor dalam Exco

17 Rejab 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,27 Mei 2013
SHAH ALAM: Upacara angkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) atau Exco yang baharu akan diadakan pada hari Khamis,  jam 9 pagi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.


(Azmin, Dr Rani dan Teresa dijangka tidak ada dalam senarai Exco Selangor)

Ini ekoran persetujuan Sultan Selangor untuk melantik 10 ahli MMKN pagi ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.


"Saya telah menghadap DYMM Sultan Selangor jam 10.30 pagi hari ini dan baginda Sultan telah berkenan untuk melantik 10," kata beliau dalam kenyataannya.

Menurut Khalid, maklumat lengkap wakil rakyat yang telah diperkenan DYMM Sultan Selangor untuk memegang jawatan MMKN akan dimaklumkan kemudian.

"Saya menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor atas segala pandangan dan nasihat baginda demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Selangor," kata Khalid.

Harakahdaily difahamkan, PAS akan mempunyai empat wakil dalam MMKN itu, tiga PKR dan tiga DAP.

Sehingga kini, menurut maklumatnya,  ketiga-tiga ketua parti dalam Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan ada dalam senarai Exco ini.

Dr Rani Osman, Pesuruhjaya PAS Selangor (Adun Meru), Azmin Ali Pengerusi PKR Selangor (Adun Bukit Antarabangsa) dikatakan tidak tersenarai dalam barisan Exco ini walaupun merupakan seorang Adun.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula tidak layak kerana bukan Adun. Beliau hanya bertanding Parlimen Seputeh dalam PRU 13.

Dua anggota Exco lama dari PAS dijangka akan dikekalkan manakala dua exco baru akan mengangkat sumpah Khamis ini.

DAP sebagaimana sessi lepas akan mendapat kerusi Speaker manakala PKR mendapat kerusi MB.

PAS dikatakan akan mendapat empat kerusi Exco untuk membolehkan nisbah 6:4 antara Exco Melayu dan bukan Melayu dilaksanakan dalam barisan Exco kali ini.




Tiada ulasan: