27 Mei 2013

Sebelum 1990 kedai Toto boleh dilihat di Kelantan

17 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA KRAI: Sebelum 1990 di bandar-bandar besar di Kelantan kita boleh lihat ada kedai menjual Toto dan Loteri Kebajikan Masyarakat.


Begitu juga di Bandar Kuala Krai boleh dilihat pelanggan keluar masuk kedai Toto. Ia menjadi pemandangan biasa ketika itu.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, lebih malang lagi anak-anak penduduk tempatan juga bekerja di premis itu sebagai kerani.


“Bagi mereka yang berusia sekitar 40-an ke atas tentunya masih ingat lagi ada kedai menjual Toto ada di bandar Kuala Krai.

“Lebih malang lagi anak-anak kita juga yang bekerja sebagai kerani di premis berkenaan,” katanya pada ceramah kesyukuran anjuran seorang aktivis PAS di Dataran Hijau Kampung Laloh malam semalam.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Mumtaz Mohd Nawi dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Seekor kerbau dikorbankan bagi jamuan orang ramai yang datang mengikuti program berkenaan. Jamuan bermula pada sebelah petang.

Program ceramah bermula agak lewat bagi memberi laluan orang ramai yang hadir menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dan Terengganu melalui skrin besar yang disediakan.

Hanya setelah Kelantan menang 4-1 ke atas Terengganu barulah program ceramah dimulakan.

Mohd Fauzi juga berkata, biar pun kerajaan BN membina beberapa prasarana sebagai menunaikan janji pilihan raya kecil Dun Manek Urai, namun undi diperolehi pada pilihan raya umum 5 Mei lalu meningkat berpuluh kali kali ganda iaitu daripada 65 kepada 1,633 undi.

“Biar pun BN membesar jambatan menghubungkan Kampung Manek Urai baru dan lama serta membina beberapa prasarana lain namun undi yang diperolehi calon PAS bertambah besar.

“Malah saya difahamkan ada pihak membahagikan duit kepada pengundi bagi memenangkan calon BN, namun parti itu ditolak majoriti rakyat,” katanya.

Premis kedai Toto diharamkan di Kelantan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah mengambil alih pentadbiran negeri pada akhir 1990 daripada kerajaan BN.

Harakahdaily/
-

Tiada ulasan: