29 Oktober 2013

MTUC gesa kerajaan batalkan GST


24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang terdiri daripada 800,000 ahli menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat membebankan pekerja berpendapatan rendah dan rakyat terbeban dengan cukai berganda dikenakan kepada mereka.
Presidennya, Mohd Khalid Atan, berkata golongan pekerja yang akan terkesan dengan pelaksanaan GST adalah mereka yang bergaji rendah dan pertengahan selain kerajaan tidak memberi jaminan kenaikan barang melampau tidak berlaku.

“Apa bukti kerajaan GST tidak membebankan rakyat? Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa barangan keperluan asas tidak dikenakan GST, namun barangan seperti sayur dan ikan sudah beberapa kali mencatatkan kenaikan harga.
“Sekarang pun terbukti apabila kerajaan tidak mampu mengawal kenaikan harga barang. Dengan kenaikan harga barang semasa, kos sara hidup meningkat apatah lagi apabila dikenakan GST. Bagaimana kerajaan boleh memastikan tiada kenaikan harga barang?
“Kita sendiri pun tahu siapa yang akan dikenakan GST. Ia bermula daripada pengilang, pemborong, peruncit dan akhir sekali kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Mohd Khalid berkata, golongan pekerja semakin menderita apabila satu persatu harga barangan keperluan asas dinaikkan kerajaan sebelum pelaksanaan GST pada April 2015.
Katanya, meskipun pembentangan Perdana Menteri menyebut tiada kenaikan harga barang apabila GST dilaksanakan namun subsidi gula dikurangkan sebanyak 34 sen dan subsidi petrol dikurangkan 20 sen.
“Jika satu persatu kerajaan menaikkan harga barangan keperluan, apa yang akan terjadi kepada golongan pekerja? Pekerja yang mendapat gaji di bawah RM900 masih sekitar 40% daripada tenaga kerja negara.
“Pada masa ini garisan kemiskinan berada pada paras RM820, maka mereka yang bergaji RM600 sebulan dikira sebagai miskin pada masa ini. Malah mereka yang bergaji RM1,500 pun pada hari ini turut berdepan masalah kewangan.
“Golongan yang dikenakan cukai ini adalah terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah. Kita faham kerajaan mahu mengurangkan defisit negara tetapi mereka juga tidak boleh membebankan golongan pekerja bawahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tidak melaksanakan GST dan berhenti membandingkan Malaysia dengan negara lain sebagai retorik mahu melaksanakan GST.
Katanya, landskap ekonomi di Malaysia berbeza kerana negara lain yang mengenakan GST akan memberikan pulangan semula pelbagai bentuk faedah kepada rakyat.
“Kita tahu GST akan bebankan rakyat. Maka kita minta kerajaan jangan laksanakan GST ini. Jangan banding dengan negara lain, kerana negara lain banyak memberi faedah kepada rakyat mereka.
“Apa yang kita dapat di negara kita? Adakah bantuan diberikan kerajaan mampu menanggung derita 6% GST yang dikenakan rakyat. Maka, jawapannnya tidak.
“Kita dikenakan cukai setiap hari. Tiada pengecualian. Kerajaan patut berfikir dua kali sebelum melaksanakan GST. MTUC tentang GST. Kami tidak melihat apa kebaikan GST ini kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada Jumaat mengumumkan GST akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 dan kadar cukainya dikenakan sebanyak  6%.
Najib berkata, melalui GST, kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian  sedia ada dan kedah percukaian itu sudah dilaksanakan di 160 buah negara di dunia yang menunjukkan GST adalah sistem percukaian terbaik.
Katanya, di kalangan negara Asean, Indonesia, Filipina, Laos dan Kemboja mengguna pakai GST serta katanya kadar GST 6% merupakan yang terendah di Asean. 
themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: