29 Oktober 2013

Suami isteri disamun empat lelaki

24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUANTAN: Sepasang suami isteri diikat sebelum barangan kemas dan wang tunai RM200 dilarikan empat lelaki yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Pahang, Jalan Sungai Soi di sini, awal hari ini. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 2.30 pagi itu pasangan suami isteri itu sedang nyenyak tidur apabila rumah mereka dimasuki suspek terbabit. 

"Suspek kemudiannya bertindak mengikat mangsa, 48, dan isterinya, 40an, sebelum menggeledah rumah mereka sebelum melarikan barang kemas, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata, keempat-empat suspek yang dipercayai warga Indonesia turut melarikan kereta jenis Proton Iswara milik mangsa. 

Katanya, selepas suspek berkenaan malarikan diri pasangan suami isteri terbabit berjaya melepaskan ikatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuantan. 

"Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya. 

Aziz berkata, nilai kerugian keseluruhan yang dialami mangsa juga masih dalam siasatan. 

Katanya, polis kini memburu semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA 

Tiada ulasan: