29 Oktober 2013

Gula naik, pesakit diabetes turun tahun hadapan?

24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi gula menyebabkan kenaikan harganya sebanyak 34 sen sekilogram dan dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai Sabtu lepas. 

Pelbagai alasan diberikan untuk merasionalkan kenaikan harga gula. Antaranya adalah kerana pengurangan subsidi gula menyebabkan berlaku kenaikan harganya. 
“Ada juga kenyataan dungu dengan menyatakan kenaikan harga gula adalah bagi mengurangkan penyakit diabetes,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Riduan Mohd Nor.


Paling menyedihkan, ujarnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan sewaktu kempen pilihanraya kecil Dun Sungai Limau dengan  rasional kenaikan harga gula bagi mengenang penderitaan allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang terpaksa dipotong kedua-dua kakinya akibat penderitaan penyakit kencing manis.

Soalnya, kata beliau di mana kajian menyatakan menaikkan harga gula dengan secara automatik boleh menyebabkan berlaku penurunan dalam penyakit diabetes. 

“Apakah pemimpin negara mahu samakan pengambilan gula dengan rokok? 

“Apakah kerana mahu mengurangkan pengambilan rokok yang semestinya membahayakan kesihatan itu, maka kerajaan terpaksa menaikkan harganya tahun demi tahun dan strategi yang sama tindakannya dengan menaikkan harga gula?” tanya beliau dalam satu kenyataan. 

Justeru, katanya di mana makanan dan minuman tanpa gula. 

Tambahnya, yang diketahui kesan kenaikan harga gula adalah kenaikan pada harga barangan terutama pada makanan dan minuman. 

Kata beliau, kesan secara langsung adalah kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga makanan dan minuman. 

Menurutnya lagi, rakyat akan lebih menderita malah mungkin ada yang memakan cicak, lipas, semut dan serangga bagi menampung kehidupan mereka.

“Jika beginilah alasan kerajaan ini bermakna kerajaan sudah tidak ada idea dan alasan untuk diberikan kepada rakyat,” katanya. 

Kata beliau, pengurangan subsidi pada gula boleh dielakkan sekiranya kerajaan berhemat dalam berbelanja. 

Katanya lagi, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 melaporkan berbilion ringgit wang rakyat hangus dalam pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan. 

“Mengapa tidak ditegaskan dalam soal penguruan yang telus dan cekap yang melibatkan agensi kerajaan berbanding mengambil tindakan drastik menaikkan harga gula yang memberi kesan kepada seluruh rakyat di negara ini?” tanya beliau. 

Daripada kenyataan pemimpin negara itu, katanya rakyat mahu melihat kesan penyakit diabetes menurun dalam setahun mendatang. 

“Datangkan fakta, statistik serta kes studi untuk rakyat percayai bahawa sememangnya itulah langkah berkesan untuk mengurangkan penyakit diabetes,” tegasnya. 

Jika tidak, ujarb beliau rakyat mengecop pemimpin negara yang suka berbohong dan mencari dalih bagi menghalalkan tindakan mereka menyiksa rakyat.

Tiada ulasan: