29 Oktober 2013

Hudud : Kelantan Dipohon Bentuk Segera Pelan Tindakan

24 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


Saya ingin memberikan respon terhadap kenyataan YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian, 28 Oktober 2013 yang menzahirkan kesungguhan kerajaan negeri menguatkuasakan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan 20 tahun yang lampau.  Kenyataan beliau tersebut dikeluarkan selepas merasmikan Konvensyen Amar Makruf Nahi Munkar sempena sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Kelantan bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) kelmarin.


Bagi pihak DPPNK, saya menyokong penuh usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh YAB Menteri Besar dalam isu ini. Tidak ragu-ragu lagi, inilah cita-cita setiap pendokong perjuangan PAS di Kelantan bahkan di seluruh negara. Saya yakin, sokongan ini turut dikongsi bersama oleh semua pihak yang meletakkan kepercayaan dan harapan kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk menggerakkan usaha yang lebih serius ke arah pelaksanaan enakmen ini.


Jika dahulu, Kelantan telah terhalang untuk melaksanakan enakmen ini apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuskan surat kepada YB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang merupakan Menteri Besar Kelantan pada masa itu. Bagaimanapun, semenjak kebelakangan ini, pandangan beberapa tokoh perundangan dan pakar perlembagaan yang menyebut bagaimana Kelantan boleh melaksanakan undang-undang ini di dalam ruang lingkup perlembagaan yang sedia ada sewajarnya telah memberikan Kelantan nafas baru untuk melangkah ke hadapan demi menguatkuasakan undang-undang ini.


Saya benar-benar berharap, Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah ll (Hudud) yang telah ditubuhkan dua tahun yang lepas dapat bersidang dan mengeluarkan kesimpulan secepat mungkin agar undang-undang ini menjadi kenyataan. Jika perlu untuk dibawa satu kes sahaja ke mahkamah untuk menjadi percubaan atau  'precedent case', Kelantan tiada pilihan kecuali melakukannya. 


Dalam hal ini, kerajaan negeri wajib untuk meletakkan pelan tindakan yang jelas dan sasaran masa yang munasabah bilakah enakmen ini dapat dikuatkuasakan. Tanpa meletakkan sasaran masa yang jelas, rakyat semakin tertanya-tanya dan akan mempersoalkan komitmen kerajaan negeri. Kita yakin, keikhlasan dan kesungguhan kerajaan negeri selama ini dalam isu ini sama sekali tidak dipersoalkan, namun ia boleh berubah apabila dilihat kerajaan negeri tiada kemajuan dalam isu ini.




Sekian, wassalam.


Dengan hormat,


AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 24 Zulhijjah 1434H bersamaan 29 Oktober 2013M

Tiada ulasan: