24 November 2013

Peniaga kuih maut ditikam

20 Muharram 1435H. [MOD] -

Seorang peniaga kuih maut selepas ditikam beberapa kali dengan objek tajam disyaki oleh rakannya dalam satu pergaduhan di Kampung Nara di Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal berkata Mohd Azizi Abdul Razak, 48, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh. 

"Mangsa ditikam bertalu-talu di rusuk, pinggang dan bahagian kaki dalam pergaduhan pada kira-kira 6 petang itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Puteh, hari ini.

Pada mulanya, mangsa ditikam di rusuk kiri ketika bertengkar dengan suspek dalam sebuah kereta setelah beliau enggan keluar dari kereta berkenaan.

Sejurus keluar dari kereta sambil diikuti suspek, Mohd Azizi jatuh dan berlaku pergelutan dengan suspek hingga beliau ditikam bertalu-talu.

Mohd Kamal berkata polis telah mengenal pasti suspek yang berusia 38 tahun dan sedang mengesannya.

Sementara itu, isteri mangsa Zailiah Shafie, 39, ketika ditemui di hospital itu berkata kali terakhir beliau menemui suaminya ialah 10 minit sebelum kejadian.

Beliau tidak menyangka pesanan supaya menjaga tiga anak mereka dan menyiapkan rumah yang sedang dibina adalah perbualan terakhirnya dengan suami.

Anak mangsa, Mohd Amer Farhan, 15, yang menuntut dalam Tingkatan Tiga di Maktab Rendah Sains MARA, Pasir Tumbuh, berkata beliau sempat berbual dengan bapanya ketika menonton televisyen di rumah mereka kira-kira 3 petang semalam.

"Saya tidak tahu bagaimana nasib kami sekeluarga selepas kematian bapa," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.

Bernama

Tiada ulasan: