24 November 2013

Selangor lantik masjid kendali kebajikan mualaf

20 Muharram 1435H. [MOD] -
HARAKAHDAILY
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan melantik jawatankuasa masjid yang akan mengendalikan tabung dan kebajikan golongan mualaf bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi (gambar), jawatankuasa itu akan mengendalikan hal kebajikan golongan itu termasuk mengajar ilmu agama dan fardu ain.

Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan kerana terdapat 93 permohonan golongan mualaf yang mahu keluar daripada Islam.

“Mereka ini masuk Islam disebabkan mahu mendapatkan duit dan kita tidak mahu faktor ini menjadi punca masalah murtad.

“Kita mahu jawatankuasa ini membimbing mereka dengan cara yang terbaik selepas memeluk Islam,” katanya pada majlis berkaitan pengurusan masjid peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zaki Arshad berkata, pihaknya dalam usaha menjadikan masjid di negeri ini sebagai ‘universiti terbuka’ bagi memudahkan masyarakat mendapat kefahaman berkenaan agama.

Beliau berkata, Jais akan meneliti beberapa modul terbaik untuk dijadikan bahan kepada masjid yang terpilih di negeri itu bagi menjalankan kuliah dan program.

Katanya, program itu dilihat akan memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada orang ramai, di samping dapat mengimarahkan masjid sebagai institusi pendidikan agama,” ujarnya dipetik Selangor Kini.

Tiada ulasan: