17 Februari 2014

Rakyat Malaysia Kehilangan RM1.775 Bilion Tahun Lalu Menerusi Jenayah Komersial

17 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kehilangan RM1.775 bilion - hampir sebahagian besarnya dalam bentuk wang tunai - sepanjang tahun lalu menerusi jenayah kolar putih atau jenayah komersial.
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mengesahkan statistik ini menerusi 16,661 kes yang dicatatkan di seluruh negaradari Januari hingga Disember 2013.
Walaupun angka tahun ini sedikit menurun daripada tahun sebelumnya (2012) tetapi jumlah kerugian wang tunai yang mencecah lebih daripada RM1 bilion menunjukkan rakyat Malaysia masih memiliki kesedaran yangrendah tentang jenayah kolar putih yang berlaku di sekeliling mereka.
Pada tahun 2012, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan sebanyak 18,386 kes penipuan kolar putih dengan jumlah kerugian mencecah RM1.619 bilion - juga sebahagian besarnya dalam bentuk tunai.

Selain itu, dua penyumbang kerugian terbanyak iaitu 'penipuan' pada tahun 2012 dan 'pecah amanah jenayah' (CBT) bagi 2013 jugamerunsingkan JSJK.
Mengikut statistik JSJK, pada tahun 2012 jenayah 'penipuan wang tunai' menyumbang kerugian terbanyak iaitu berjumlah RM1.131 bilion manakala CBT, RM461 juta.
Tetapi trend itu beralih kepada CBT pada tahun lalu apabila RM1.070 bilion kerugian direkodkan manakala kerugian penipuan menurun kepada RM655 juta.
Najmi
Ketua Penolong Pengarah Risikan JSJK, Asisten Komisioner Najmi Mustaffa memberitahumStar Online, walaupun keseluruhan kerugian yang dicatatkan setiap tahun tidak melibatkan wang tunai secara seratus peratus namun sebahagian besar 'penipuan' dan CBT berlaku melibatkan transaksi wang tunai.
Menurutnya, rekod 2013 menunjukkan 2,557 kes melibatkan CBT (RM1,070,049,185); kes tipu sebanyak 11,776 (RM655,333,544); 157 kes pemalsuan (RM36,598,282) dan 478 kes Akta Pemberi dan Peminjam Wang (APPW) atau 'ah long' (RM5,740,670).
Selain itu, jenayah siber melibatkan 257 kes (RM3,952,232); salah guna harta dengan curang 105 kes (RM1,940,698); kesalahan mengikut Akta Penggubahan Wang Haram atau AMLA tiga kes (RM1,572,000); 108 lain-lain kes RM101,700) dan kes wang palsu sebanyak 234 (RM93,672).
"Daripada jumlah keseluruhan itu, Kuala Lumpur merupakan negeri tertinggi yang merekodkan kerugian iaitu sebanyak RM943 juta dengan 2,279 kes diikuti Selangor RM281 juta (3,248 kes) dan Perak RM108 juta (1,294 kes).
"Walaupun jumlah kerugian meningkat sebanyak 9.6 peratus pada tahun lalu berbanding 2012, namun jumlah kes jenayah komersial menurun daripada 18,386 kepada 16,661 kes pada tahun lalu (turun 9.4 peratus)," katanya.
Ditanya mengenai peningkatan jenayah dalam kes CBT, beliau menjelaskan, suspek kes CBT kebiasaannya terdiri daripada pemegang amanah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan tertentu sama ada saham, aset dan pemberi kelulusan urusan transaksi wang.
Jelasnya, bagi kes salah guna harta dengan curang pula suspek merupakan individu yang tidak diberi amanah untuk menjaga kepentingan tetapi telah bertindak melakukan penyelewengan.
"Bagi kes tipu, ia terbahagi kepada dua penyumbang besar iaitu Komplot Afrika atau African Scam yang menggunakan kemudahan internet serta memperkudakan orang awam sebagai umpan dan Komplot Macau atau Macau Scam yang menjadikan panggilan telefon sebagai perantara paling popular untuk menipu.
"Komplot Afrika biasanya didalangi oleh warga Afrika yang kononnya datang ke negara ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi tetapi menggunakan laman sosial untuk melakukan penipuan terhadap mangsa di dalam negara," katanya.
Dalam kes tersebut, warga tempatan sering dijadikan 'keldai akaun' atau pemegang akaun bank bagi memudahkan suspek mendapatkan wang daripada mangsa.
Najmi berkata, Komplot Macau pula adalah sejenis penipuan yang dilakukan dari Macau, menerusi panggilan telefon dengan mendakwa mereka sebagai pegawai Bank Negara Malaysia selain menyamar sebagai anggota polis daripada JSJK sebelum melakukan pemindahan wang daripada akaun bank mangsa selepas berjaya memperdayai mereka.
Bagi kes pemalsuan pula jelasnya, ia melibatkan pemalsuan dokumen, cop dan akuan sumpah yang melibat transaksi wang, jualan aset, hartanah dan saham.
Menurut beliau Bukit Aman melihat angka kerugian yang semakin meningkat ini sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana ia adalah petanda bahawa masih ramai warga Malaysia tidak sedar yang mereka menjadi mangsa penipuan sehinggalah kerugian mencecah ada sesetengahnya sehingga berjuta ringgit.
mStar/-

Tiada ulasan: