17 Februari 2014

Gajah serang budak datang dari Thailand

17 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

JELI: Gajah yang menyerang tiga beranak di Kampung Wakaf Zin, Air Lanas dekat sini kelmarin dipercayai berasal dari negara jiran.

Gajah tersebut dikatakan menyeberangi anak sungai di sempadan Kelantan-Thailand di Bukit Bawang yang bersempadan Daerah Weng di Narathiwat.

Timbalan Yang Dipertua PAS Jeli, Datuk Abdullah Yakob berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian gajah mengamuk sehingga memasuki kampung di Air Lanas.

Katanya, kedudukannya berhampiran dengan Thailand dipisahkan anak sungai memudahkan binatang liar menyeberang masuk ke Jeli.

“Berdasar kepada maklumat gajah tersebut dipercayai terlepas daripada sebuah zoo di negara jiran sehingga memasuki kawasan kampung di sini.

“Sebelum ini penduduk hanya terserempak dengan harimau sahaja di kebun mereka ketika menoreh dan tidak pernah ditemui gajah liar,” katanya di sini.

Pada kejadian malang tersebut seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati akibat terpelanting daripada motosikal ditunggang bapanya, Wan Mahmood Wan Noh di hadapan rumah mereka di Wakaf Zin.

Ketika kejadian Wan Mahmood memboncengkan isterinya, Rezamawati Che Mat Bidin, manakala anaknya, Wan Aidit berada dalam raga motosikal.

Akibat terkejut kehadiran gajah menyebabkan Wan Mahmood memecut sehingga motosikal terbabas dan anaknya terpelanting dari raga, manakala isterinya terjatuh dan dipijak gajah.

Anaknya meninggal ketika sampai di klinik, manakala isterinya cedera di kaki kanan akibat dipijak gajah tersebut.

Abdullah yang juga Speaker Dun Kelantan berkata, sebelum kejadian terbabit seorang penoreh getah di Kampung Bukit Perawas juga terserempak dengan gajah itu.

“Penoreh terbabit dilempar dengan belalai dan terjatuh ke dalam selut. Dia tidak cedera dan hanya sakit seluruh badannya,” katanya.

Abdullah mengunjungi keluarga mangsa dan penoreh getah terbabit pagi tadi di samping menghulur sedikit sumbangan kepada mereka.HD/-

Tiada ulasan: