17 Februari 2014

Siapa dalang anjur Seminar Pemikiran Kassim Ahmad?

17 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mempersoalkan bagaimana seminar yang membawa kepada pemikiran songsang lagi sesat boleh dibenarkan untuk diadakan, lebih-lebih lagi oleh sebuah badan yang berkaitan kerajaan.

Ketua Penerangannya, Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata penganjuran Seminar Pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya semalam sepatutnya tidak perlu memandangkan jelas Kassim Ahmad itu seorang yang menolak hadis, yang bertentangan dengan pegangan umat Islam keseluruhannya.

"Sesiapa yang menolak hadis ini merupakan seorang yang kufur. Jadi, bagi saya tidak perlu perkara yang dibangkitkan di dalam seminar itu perlu dibincangkan secara ilmiah memandangkan ia satu perkara yang merosakkan dasar Islam itu sendiri. Soalnya, bagaimana ia boleh terlepas begitu sahaja?," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran seminar tersebut di Putrajaya, pada 15 dan 16 Feb lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, khususnya melalui menteri berkaitan agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertanggungjawab atas penganjuran seminar songsang demikian dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam bagaimana seminar itu boleh diadakan.

"Dalam masa sama, saya juga menggesa Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) segera menyatakan apakah tindakan yang akan diambil mereka terhadap penganjuran seminar ini, sepertimana tindakan segera yang diambil Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan tindakan ke atas kumpulan ajaran sesat," tegas beliau lagi.

Kata Khairuddin, janganlah kerajaan hanya mengambil berat soal memperjuangkan kalimah Allah, namun tidak serius dan bersungguh-sungguh dalam soal ini.

Beliau turut mengajak seluruh umat Islam untuk bangkit menentang dan membantah penganjuran seminar seumpama ini sepertimana umat Islam bangkit mempertahankan kalimah Allah.

Jawatankuasa Fatwa 'Majlis Agama Islam dan "Adat Melayu Perak' Darul Ridzuan yang bersidang pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995 memfatwakan bahawa mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', (yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad), adalah murtad.

Fatwa yang kemudiannya diwartakan pada 15 Feb, 1996 itu juga melarang mana-mana orang Islam mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku tersebut. [Rujuk di sini]

Fatwa sama juga kemudian diwartakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang. [Rujuk di sini]

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: