08 Mac 2014

Pakatan putus calon PRK Kajang hari ini

6 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -

SHAH ALAM: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tengah hari ini akan memutuskan calon pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Menurut Anwar, senarai akhir calon akan dibincang pada hari ini dan pengumuman calon akan dibuat pada masa terdekat.

Difahamkan, terdapat 12 nama yang disenarai pendek untuk menggantikan beliau.

"Pakatan Rakyat akan bermesyuarat sebentar lagi untuk menentukan calon kita di Kajang.

"Soal calon, kita ada calon muda, orang lama dan bergantung kepada sentimen orang Kajang dan kita akan bincangkan dalam mesyuarat," kata beliau pada sidang media di Setia City Convention Centre, dekat sini hari ini bersempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-5.

Beliau turut menegaskan, Umno BN sekali lagi menggunakan mahkamah untuk menghalang kemenangan Pakatan Rakyat di Kajang.

"Trend yang sama digunakan oleh Umno BN iaitu menggunakan mahkamah menghalang saya bertanding di Kajang kerana mereka tidak yakin akan menang di kajang," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang kesal apabila undang-undang Islam tidak digunakan sepenuhnya di Malaysia.

"Mahkamah Syariah di Malaysia tidak boleh mengendalikan kes liwat, kes rasuah dan jenayah sebaliknya hanya mengendalikan kes nikah kahwin dan harta pusaka sahaja.

"Ini sangat mengecewakan kerana Islam merupakan agama yang hebat tetapi tidak ditonjolkan kehebatannya," tegasnya.

Beliau turut menyeru semua rakyat bersatu hati menegakkan keadilan di Malaysia.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: