19 Jun 2021

Covid-19: Awas! Varian baharu makin mengganas

Dr Noor Hisham terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan memerangi Covid-19

JUMLAH kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia yang tinggi sejak kebelakangan ini berikutan varian baharu virus itu semakin mengganas.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kemaskini di Facebook rasminya pada pagi Sabtu.

"Terkini dengan varian-varian baharu virus ini semakin mengganas menjangkiti lebih ramai orang dengan cepat dan mengakibatkan kes kematian yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, beliau terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan dalam meneruskan pejuangan menentang Covid-19.

"Buat petugas-petugas barisan hadapan, teruskan berjuang menentang Covid-19.

"Kita adalah benteng pertahanan negara,"katanya.

Sementara itu dalam kemaskini berlainan, beliau memaklumkan Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mula menerima pesakit Covid-19 bermula Jumaat.

Menurutnya, pengambilmilikan sementara hospital itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021. - SH/-

Tiada ulasan: