19 Jun 2021

Vaksin Covid-19 tingkatkan tahap kesuburan lelaki ?


Satu kajian mendedahkan vaksin Covid-19 tidak mengurangkan jumlah sperma dan kualiti yang dihasilkan lelaki, sebaliknya meningkatkan tahap kesuburan golongan tersebut.

Lapor Daily Mail, para penyelidik di Universiti Miami mengkaji jumlah sperma dari sekumpulan lelaki yang menerima suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini.

Penyelidik itu kemudian membandingkan hasil itu dengan jumlah sperma kumpulan lelaki itu sebelum divaksin.

Menurut penyelidik, pihaknya tidak menemui sebarang penurunan dalam jumlah sperma bagi lelaki yang menerima satu atau dua dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech atau Moderna.

Bahkan, jumlah sperma lelaki terbabit menunjukkan peningkatan dari segi min dan median.

Menurut pasukan penyelidik, penemuan itu secara tidak langsung menolak dakwaan palsu disebarkan di laman media sosial kononnya vaksin Covid-19 menjejaskan tahap kesuburan lelaki.

Kajian itu disiarkan di jurnal perubatan, JAMA.

Bagi kajian tersebut, pasukan penyelidik merekrut 45 lelaki berusia 18 hingga 50 tahun yang kesemuanya tidak pernah dijangkiti wabak Covid-19 dan tidak mengalami gejala virus itu.

Satu ujian air mani dilakukan terhadap kumpulan lelaki itu sebelum menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

Jumlah sperma kumpulan lelaki itu kemudian dikaji semula selepas 70 hari menerima dos kedua vaksin keluaran Pfizer-BioNTech atau Moderna.

Jumlah sperma median meningkat dari 26 juta sel bagi setiap mililiter (ml) kepada 30 juta sel ml, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

Purata jumlah sperma pula meningkat dari 36 juta sel ml kepada 44 juta sel ml, sebanyak 22 peratus peningkatan. – AGENSI

Tiada ulasan: