19 Jun 2021

Pemberian vaksin COVID-19 melebihi 5 juta dos


KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini setakat semalam sudah melebihi lima juta dos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga semalam, seramai 3,957,687 menerima dos pertama, manakala 1,553,033 lagi individu melengkapkan dos kedua.

Katanya, ia menjadikan keseluruhan pemberian kedua-dua dos berjumlah 5,510,720.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau memaklumkan lima negeri mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 202,143 diikuti Sarawak (174,545), Johor (151,140), Perak (144,086) dan Kuala Lumpur (141,045).

Mengenai vaksinasi harian bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Dr Adham berkata, sebanyak 180,066 dos diberikan semalam membabitkan 147,616 penerima suntikan pertama manakala 32,450 lagi dos kedua.

Sementara itu, berdasarkan laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin di laman sesawang http://www.vaksincovid.gov.my, sebanyak 14,877,336 pendaftaran direkodkan setakat semalam. - BERNAMA

Tiada ulasan: