19 Jun 2021

Diperdaya ‘teman wanita’ dari Australia, penoreh getah lesap duit simpanan KWSP RM99,000


SEREMBAN: Seorang penoreh getah kerugian RM99,000 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam menerusi media sosial dalam kejadian di Kampung Baru Cina Air Hitam, Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 58 tahun itu merupakan pesara swasta mendakwa telah berkenalan dengan seorang wanita warganegara Singapura yang mengaku menetap di Australia, menerusi Facebook.

Beliau berkata wang simpanan pengadu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa persaraan lesap selepas mempercayai teman wanitanya yang mempunyai masalah kewangan, bagi menyelesaikan urusan perniagaan yang tergendala.

“Mereka telah menjalinkan hubungan secara maya sejak awal Februari lepas dengan hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak pernah melakukan panggilan telefon atau video sepanjang perkenalan.

“Sepanjang berkenalan, wanita itu menceritakan perniagaan minyak mentah yang diuruskan di luar negara dan telah meminta lelaki itu memberikan pinjaman wang bagi menyelesaikan urusan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengadu kemudian bersetuju meminjamkan sejumlah wang kepada teman wanitanya dengan membuat enam kali transaksi berjumlah keseluruhan RM99,000 pada 9 dan 10 Jun lepas.

Hoo berkata pengadu sedar bahawa dirinya ditipu apabila wanita tersebut sekali lagi meminta pengadu memasukkan sejumlah wang berjumlah RM131,000 dengan alasan masalah kewangan syarikat yang masih lagi tidak dapat diselesaikan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis memohon orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan. fmt/-

Tiada ulasan: