04 Julai 2021

Angkasawan China 'berjalan' di angkasa

 Angkasawan China buat julung kalinya berjalan di angkasa (spacewalk) di stesen angkasa baharu, menurut media kerajaan negara itu. - Foto Google

Angkasawan China buat julung kalinya berjalan di angkasa (spacewalk) di stesen angkasa baharu, menurut media kerajaan negara itu. - Foto Google

BEIJING: Angkasawan China buat julung kalinya berjalan di angkasa (spacewalk) di stesen angkasa baharu, menurut media kerajaan negara itu.

Ini adalah kali kedua angkasawan negara itu keluar dari kapal angkasa mereka ketika berada di angkasa.

Tiga angkasawan China berlepas ke stesen angkasa baharu, Tiangong, bulan lalu, di mana mereka akan tinggal selama tiga bulan dalam misi paling lama oleh angkasawan China setakat ini

Stesen penyiaran CCTV berkata, dua daripada mereka keluar daripada kabin utama stesen angkasa itu untuk berjalan di angkasa pagi tadi.

Angkasawan pertama, Liu Boming, dipindahkan menerusi tangan mekanikal ke stesen kerja manakala rakannya, Tang Hongbo, bergerak dengan mendaki ke bahagian luar kabin stesen berkenaan.

Misi mereka adalah mengangkat kamera panorama di luar kabin utama, Tianhe dan memastikan keupayaan pergerakan tangan mekanikal robotik.

Rakaman televisyen menunjukkan angkasawan bersiap untuk berjalan di angkasa dengan memakai peralatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan ketika bersenam di kabin.

Mereka kemudian dilihat membuka pintu dan keluar daripada kabin dengan aktiviti angkasa pertama itu dirancang dijangka berlangsung selam enam atau tujuh jam.

Pelancaran misi pertama di China selepas lima tahun adalah misi berprestij besar bagi negara itu di saat Beijing menandakan ulang tahun ke-100 Parti Komunis.

Selain Liu dan Tang, komandan misi itu adalah Nie Haisheng, iaitu juruterbang tentera udara yang sudah terbabit dalam dua misi angkasa sebelum ini. - AFP

Tiada ulasan: