04 Julai 2021

Itali bongkar sindiket sijil status COVID-19 palsu

 Gambar hiasan.

Gambar hiasan.

MILAN: Polis Itali membongkar kegiatan jenayah dalam talian yang menjual sijil palsu status COVID-19 digital Kesatuan Eropah (EU).

Pejabat Pendakwa Jenayah Siber di Milan mendedahkan ribuan orang bersedia membayar untuk mendapatkan sijil COVID-19 digital palsu berkenaan.

Khamis lalu, kesatuan itu melancarkan sijil status COVID-19 digital yang direka untuk perjalanan pelancong di 27 negara anggotanya.

Sijil itu mempunyai kod QR yang mempamerkan sama ada pelancong sudah divaksinasi penuh atau baru pulih daripada jangkitan COVID-19 atau diuji negatif.

Ketua Unit Jenayah Penipuan Siber dan Cukai Milan, Gian Luca Berruti berkata, mereka turut membongkar 10 saluran di aplikasi Telegram yang mempunyai hubungan dengan akaun tanpa nama di pasaran web gelap (Dark Web) yang membolehkan orang ramai menghubungi penjual dan melakukan pembayaran secara mata wang kripto.

"Sijil itu dijual antara 110 hingga 130 euro (RM543 - RM642) untuk semua pakej pas palsu malah terdapat juga sebilangan pembeli dikesan daripada luar EU," katanya.

Beliau juga berkata, kira-kira 250,000 pengguna sudah mendaftar dan ratusan cuba berinteraksi dengan penjual, lapor agensi berita CNA.

"Kita juga menemui beberapa sijil COVID-19 palsu yang mengandungi data pengenalan palsu, kod QR yang dihasilkan khas dan nombor kumpulan vaksin dos pertama dan kedua.

"Gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Skim ini terbongkar menggunakan dua alat kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan polis memantau web secara 'real time' dan kemudian berinteraksi sebagai bakal pelanggan. - AGENSI

Tiada ulasan: