04 Julai 2021

Australia catat kenaikan kes COVID-19 harian tertinggi

 


Bandar raya Sydney, ibu negeri New South Wales yang menempatkan satu per lima daripada 25 juta penduduk Australia, paling teruk terkesan oleh varian COVID-19 Delta dalam tempoh dua minggu lalu. - Foto AFP

Bandar raya Sydney, ibu negeri New South Wales yang menempatkan satu per lima daripada 25 juta penduduk Australia, paling teruk terkesan oleh varian COVID-19 Delta dalam tempoh dua minggu lalu. - Foto AFP

MELBOURNE: New South Wales semalam mencatatkan kenaikan kes harian jangkitan COVID-19 tertinggi tahun ini, walaupun penduduk di beberapa bandar besar di seluruh negara itu sudah bebas daripada perintah kawalan pergerakan semalam.

Sydney, ibu negeri New South Wales yang menempatkan satu per lima daripada 25 juta penduduk Australia, paling teruk terkesan oleh varian COVID-19 Delta yang cepat menular dalam tempoh dua minggu lalu.

Ketua Menteri, Gladys Berejiklian melaporkan 35 kes baharu dicatat semalam, melepasi 31 kes yang dilaporkan sehari sebelumnya, menjadikan jumlah jangkitan kini lebih daripada 250 kes.

"Ia belum lagi menunjukkan lonjakan kes yang besar... (tetapi) kita tahu beberapa hari akan datang adalah sangat kritikal," katanya pada sidang media.

Berejiklian berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada langkah kawalan pergerakan akan disambung, lapor agensi berita CNA.

"Pakar kesihatan memberikan kami nasihat setiap hari...kita menjangkakan dalam beberapa minggu kita akan dapat memberitahu orang ramai mengenai perkara ini," katanya.

Di negeri lain, orang ramai mula menikmati kebebasan ketika hujung minggu bermula selepas kawalan pergerakan di Australia Barat, Wilayah Utara dan beberapa kawasan di Queensland ditarik balik pada malam Jumaat lalu.

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk mengesahkan bahawa kawalan pergerakan di Brisbane ditarik balik semalam ketika melaporkan lima kes COVID-19 baharu di negeri itu.

Penutupan, pengesanan kontak rapat dan peraturan penjarakan sosial yang ketat membantu Australia untuk mengatasi wabak sebelum ini, tetapi varian COVID-19 Delta yang merebak dengan cepat membimbangkan pihak berkuasa, lebih-lebih lagi di tengah program vaksinasi di seluruh negara yang bergerak perlahan. - AGENSI

Tiada ulasan: