04 Julai 2021

Kos pengangkutan punca harga durian mahal

 Peniaga durian mendakwa harga raja buah itu mahal disebabkan kos pengangkutan memandangkan bekalan diambil dari negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Peniaga durian mendakwa harga raja buah itu mahal disebabkan kos pengangkutan memandangkan bekalan diambil dari negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Peniaga durian mendakwa harga raja buah itu mahal disebabkan kos pengangkutan memandangkan bekalan diambil dari negeri lain termasuk Johor dan Negeri Sembilan.

Mereka mendakwa, tiada masalah dari segi perolehan bekalan memandangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengeluarkan surat bagi membolehkan pemborong durian melakukan rentas negeri untuk tujuan berkenaan.

Peniaga durian, Mohd Nazri Hussin, 41, berkata dia menjual buah berkenaan serendah RM14 sehingga RM55 sekilogram bergantung kepada jenis durian.

"Durian kampung hanya RM14 sekilogram, manakala Musang King pula RM55 sekilogram. Harga yang dikenakan adalah sama seperti tahun sebelumnya memandangkan bekalan diambil dari negeri lain.

"Kos pengangkutan sudah mencecah ribuan ringgit. Sebagai contoh saya mengambil bekalan setiap hari dari Johor. Melainkan bekalan durian diperoleh dari negeri sendiri dan sudah tentu boleh dijual dengan harga yang lebih murah.

"Setakat ini, dari segi jualan tidak terjejas walaupun ramai yang mendakwa harga durian mahal. Setiap hari saya mampu menjual tiga tan durian," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Peniaga, Shahmiazani Mohd Tanazi, 28, berkata sambutan diterima amat menggalakkan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mampu menjual sebanyak 12 tan sehari.

"Harga adalah berbeza serendah RM10 sehingga RM45 bergantung kepada kualiti. Bekalan pula diperoleh dari Negeri Sembilan dan Johor.

"Harga yang dikenakan pula tidak berbeza seperti tahun sebelumnya. Untuk kualiti yang elok sudah tentulah harga lebih mahal seperti Musang King," katanya yang menjual di Kampung Semat Jal. bh/-

Tiada ulasan: