05 Julai 2021

Hanya warga asing lengkap vaksin dibenar masuk Indonesia

  Petugas menguruskan jenazah mangsa COVID-19 di tanah perkuburan Bekasi. Indonesia merekodkan 493 kematian Sabtu lalu. - Foto AFP

Petugas menguruskan jenazah mangsa COVID-19 di tanah perkuburan Bekasi. Indonesia merekodkan 493 kematian Sabtu lalu. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia hanya membenarkan warga asing yang lengkap menerima vaksin memasuki negara itu mulai esok.

Jurucakap Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata setiap warga asing dikehendaki menunjukkan kad vaksin yang membuktikan mereka divaksin sepenuhnya.

Di samping itu, katanya warga asing juga perlu menyertakan keputusan negatif ujian PCR COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki republik itu.

Bagaimanapun pengecualian sijil vaksinasi diberikan kepada diplomat asing dan pegawai peringkat kementerian sesuai dengan amalan hubungan diplomatik dilaksanakan negara lain, katanya memetik kenyataan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan.

Memetik laporan antaranews.com, warga Indonesia yang akan memasuki negara itu tetapi tidak mempunyai kad vaksin, perlu menunjukkan hasil ujian COVID PCR negatif.

"Selepas dikuarantin dan bebas daripada COVID-19, mereka akan segera diberi vaksin.

"Peraturan kuarantin dikuatkuasakan untuk warga asing dan warga Indonesia. Mereka harus menjalani kuarantin selama lapan hari dengan dua ujian PCR, iaitu pada hari ketibaan dan hari ketujuh," katanya dalam kenyataan semalam.

Tempoh kuarantin lapan hari sesuai dengan arahan Kementerian Kesihatan.

Indonesia menyaksikan peningkatan kes harian COVID-19 Sabtu lalu dengan 27,913 jangkitan baharu dan 493 kematian di seluruh negara.

Negara itu merekodkan kes pulih harian sebanyak 13,282, sementara kes aktif adalah 281,677.

Sejak kerajaan mengumumkan kes COVID-19 pertama pada 2 Mac 2020, jumlah jangkitan sehingga kini mencecah 2,256,851, sementara jumlah kematian mencapai 60,027.

Gelombang COVID-19 kedua menyaksikan lonjakan jangkitan secara drastik di beberapa wilayah, terutama Jakarta dan bandar lain di Pulau Jawa.

Kerajaan Indonesia mengenakan sekatan terhadap kegiatan awam mulai Sabtu lalu hingga 20 Julai ini. - AGENSI

Tiada ulasan: