05 Julai 2021

Dewan Rakyat bersidang bermula 26 Julai: Pejabat PM


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Katanya, persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

"Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

"Mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini," katanya.



Tiada ulasan: